KUCHING: SJK (C) Stampin menerima peruntukan RM108,000 bagi menaik taraf sistem audio dan memasang panel akustik di dewan sekolah berkenaan.
Pembantu Khas Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen, Michael Kong Feng Nian berkata, penambahbaikan itu akan meningkatkan kemudahan dewan yang digunakan untuk perhimpunan, program sekolah dan pelbagai aktiviti lain.
“Dengan saiz dewan ini, sistem audio yang baik serta akustik yang lebih sempurna akan memberi perbezaan ketara kepada warga sekolah,” katanya.
Menurut Kong, proses mendapatkan kelulusan peruntukan berkenaan mengambil masa, namun usaha susulan yang dilakukan secara berterusan akhirnya membuahkan hasil.

“Ini sekali lagi menunjukkan pentingnya kita terus mendengar keperluan sekolah dan memahami apa yang benar-benar diperlukan.
“Ada kalanya sekolah tidak memerlukan projek pembinaan besar, sebaliknya penambahbaikan praktikal yang mampu meningkatkan kemudahan untuk murid dan guru,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya gembira melihat peruntukan itu akhirnya dapat dimanfaatkan bagi menambah baik kemudahan sekolah.
Kong berharap kerja menaik taraf berkenaan dapat memberi manfaat jangka panjang kepada murid, guru serta warga SJK (C) Stampin.
Oleh Connie Chieng



