KUCHING: Bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di Kanowit turun 36 mata daripada 244 pada 8.00 pagi kepada 208 pada tengah hari ini, namun masih berada pada tahap sangat tidak sihat.
Menurut sumber daripada Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB), bacaan di Lubok Antu turut menurun daripada 205 kepada 195, sekali gus berubah daripada tahap sangat tidak sihat kepada tidak sihat.
Bagaimanapun, beberapa kawasan mencatatkan peningkatan bacaan. Serian meningkat daripada 179 kepada 186, Kuching daripada 174 kepada 179 dan Samarahan daripada 168 kepada 173.
Sri Aman pula turun sedikit daripada 181 kepada 180, manakala Sibu menurun daripada 173 kepada 167.
Sementara itu, Bario meningkat daripada 33 kepada 74 dan kini berada pada tahap sederhana, berbanding tahap baik pada 8.00 pagi.
Setakat tengah hari ini, Kanowit menjadi satu-satunya kawasan yang mencatatkan bacaan pada tahap sangat tidak sihat, manakala kawasan lain berada pada tahap tidak sihat atau sederhana.
Berdasarkan klasifikasi IPU, bacaan antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat, manakala 201 hingga 300 berada pada tahap sangat tidak sihat.
Oleh Shikin Mahmud




