APM Lubok Antu bertindak pantas bersihkan pokok tumbang di Jalan Changkul

Facebook
WhatsApp
ANGGOTA APM Daerah Lubok Antu bertindak pantas selepas menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pokok tumbang yang menghalang laluan pengguna jalan raya di Jalan Changkul, Lubok Antu, hari ini. Foto APM Lubok Antu

LUBOK ANTU: Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Lubok Antu bertindak pantas selepas menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pokok tumbang yang menghalang laluan pengguna jalan raya di Jalan Changkul, di sini, hari ini.

Susulan menerima maklumat berkenaan, anggota APM Lubok Antu segera digerakkan ke lokasi bagi menjalankan kerja-kerja pembersihan dan memastikan laluan dapat dibuka semula demi keselamatan orang awam.

Setibanya di lokasi, anggota mendapati sebatang pokok getah tumbang dan menghalang laluan sepenuhnya, sekali gus berpotensi mengganggu perjalanan pengguna jalan raya.

Tanpa berlengah, anggota APM menggunakan peralatan yang tersedia bagi memotong dan mengalihkan pokok berkenaan ke bahu jalan.

Kerja-kerja pembersihan turut mendapat kerjasama daripada orang awam yang berada di lokasi, sekali gus membantu mempercepatkan proses membuka semula laluan.

Hasil tindakan pantas dan kerjasama semua pihak, laluan berkenaan berjaya dibersihkan dan kembali boleh digunakan seperti biasa.

APM Lubok Antu menegaskan bahawa setiap panggilan kecemasan merupakan satu  amanah dalam memastikan keselamatan serta kelancaran urusan masyarakat sentiasa diberi keutamaan.

Orang ramai yang berdepan situasi kecemasan boleh menghubungi APM Lubok Antu di talian 083-584639 atau talian kecemasan 999.

Oleh Adi Safarman