ROME, Itali: Selepas berbulan-bulan berdepan persoalan dalaman, kontroversi dan perdebatan, Itali kini bersedia membiarkan aksi di padang kembali menjadi tumpuan apabila Roberto Mancini memulakan tempoh keduanya sebagai ketua jurulatih.
Azzurri akan memulakan kempen Liga Negara-Negara UEFA menentang Belgium di Stadio Olimpico, Rome, Jumaat ini.
Ia akan menjadi perlawanan kompetitif pertama Itali sejak tewas kepada Bosnia dan Herzegovina dalam aksi play-off pada Mac, sekali gus menyaksikan mereka gagal melayakkan diri ke Piala Dunia buat kali ketiga berturut-turut.
Juara dunia empat kali itu melalui perubahan besar sejak malam suram di Zenica berkenaan.
Mancini, yang menjadi arkitek kejayaan utama terakhir Itali pada Euro 2020, kembali sebagai ketua jurulatih dengan membawa skuad yang diperbaharui dan menampilkan ramai pemain muda yang belum teruji di peringkat antarabangsa.

“Kita perlu membawa pasukan kebangsaan kembali ke kedudukan yang sepatutnya,” kata Mancini.
“Saya di sini untuk menang dan saya yakin kita akan menikmati beberapa detik hebat.”
Di luar padang, Claudio Ranieri dan Gianfranco Zola masing-masing mengambil peranan sebagai pengarah teknikal dan penyelaras projek pembangunan pemain muda, manakala ketua Olimpik Milan-Cortina, Giovanni Malago, dipilih sebagai presiden baharu Persekutuan Bola Sepak Itali (FIGC) pada Jun.
Rangkaian perubahan itu berlaku susulan desakan meluas agar pembaharuan menyeluruh dilakukan terhadap bola sepak Itali, selepas kegagalan dalam kempen kelayakan menyebabkan satu generasi membesar tanpa menyaksikan negara mereka beraksi di Piala Dunia.
Namun, perjalanan ke arah perubahan itu bukan mudah.
Beberapa individu berundur selepas kekalahan di Bosnia, termasuk jurulatih Gennaro Gattuso, ketua delegasi Gianluigi Buffon dan presiden FIGC, Gabriele Gravina.
Selepas dilantik sebagai presiden FIGC, langkah utama pertama Malago ialah melantik legenda AC Milan, Paolo Maldini, sebagai pengarah teknikal bagi mengetuai pencarian jurulatih baharu.
Cinta Dalam Hidup Saya
Selepas tidak berjaya mendapatkan jurulatih Brazil, Carlo Ancelotti, Maldini mengalihkan perhatian kepada Pep Guardiola.
“Kami pergi menemuinya di Barcelona, kami makan tengah hari bersama dan berbincang sepanjang hari. Dia sangat berminat,” kata Maldini kepada Corriere della Sera.
“Dia hampir menerima tawaran itu. Malah, dia mula menulis kesebelasan utama di atas beberapa helai kertas.”
Maldini menegaskan bahawa “wang tidak pernah menjadi isu” dan penolakan Guardiola berpunca daripada “keletihan” selepas tempoh sedekad bersama Manchester City yang berakhir pada musim panas ini.
Nama seterusnya dalam senarai Maldini ialah bekas rakan sepasukannya, Andrea Pirlo.
Bagaimanapun, Pirlo menarik diri daripada pertimbangan selepas tercetus kontroversi berhubung peranannya sebagai duta global sebuah syarikat pertaruhan dari Rusia, yang ditegaskannya “semata-mata bersifat komersial dan berkaitan sukan”.
Kontroversi Pirlo menyebabkan Maldini dan penasihatnya, Leonardo, mengejutkan ramai pihak apabila meletakkan jawatan selepas hanya 16 hari memegang jawatan.
Maldini kemudian menjelaskan bahawa “syarat kepercayaan tidak lagi wujud” antara beliau dengan Malago, yang terpaksa kembali ke titik permulaan.
Mancini kemudian muncul sebagai pilihan utama dan dilantik pada Julai dalam satu keputusan yang mencetuskan perbezaan pandangan.
Walaupun rekod jurulatih berusia 61 tahun itu terserlah, keputusannya meletakkan jawatan sebagai jurulatih Itali pada Ogos 2023 sebelum menerima tawaran lumayan untuk mengendalikan pasukan di Arab Saudi menimbulkan kemarahan ramai rakyat Itali.
Selepas kepulangannya disahkan, akhbar berpangkalan di Rome, Corriere dello Sport, menerbitkan surat terbuka yang menuduhnya melakukan “pengkhianatan” dan menyatakan bahawa “permohonan maaf tidak mencukupi”, manakala pengulas Sky Sport, Paolo Condo, berkata keputusannya untuk “meninggalkan pasukan kebangsaan demi bayaran lumayan” sepatutnya menjadi “jalan yang tidak boleh berpatah balik”.
Mancini segera menjawab kritikan itu ketika diperkenalkan secara rasmi.
“Saya sangat menyesal. Jersi Itali sentiasa sangat penting bagi saya. Ia seperti kehilangan cinta dalam hidup saya,” katanya.
Senarai pemain pertama Mancini menunjukkan era baharu sedang bermula apabila sembilan muka baharu disenaraikan dalam skuad 34 pemain.
Pemain muda seperti Alessandro Romano dan Eddy Kouadio dipanggil, selain pemain yang beraksi di luar Itali seperti pemain tengah Sporting Lisbon, Issa Doumbia, pemain Brentford, Michael Kayode dan penyerang Nuernberg, Mohamed Ali Zoma.
“Saya fikir adalah wajar untuk membawa masuk pemain muda supaya kami dapat mengenali mereka secara langsung kerana perkara itu paling penting untuk membentuk skuad yang sangat kuat pada masa depan,” kata Mancini.
“Kita perlu segera mengenal pasti pemain yang berpotensi bersama kami untuk tempoh empat tahun akan datang.”
Selepas menentang Belgium pada Jumaat, Itali akan berdepan Turkiye sebanyak dua kali, dengan kedua-dua perlawanan itu diselang-seli kunjungan ke Perancis kendalian Zinedine Zidane. – AFP





