MIRI: Kemunculan seekor buaya berhampiran kawasan Petronas, Luak Bay di sini, mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat.
Aduan berhubung penampakan reptilia berkenaan diterima Team Eric Cat sebelum pasukan itu bersama Perbadanan Perhutanan Sarawak menjalankan pemantauan di lokasi, hari ini.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Eric Cat memaklumkan bahawa dua umpan buaya dipasang di kawasan berkenaan dalam usaha mengesan dan menangkap reptilia yang dipercayai masih berada di sekitar kawasan air tersebut.
“Orang ramai, khususnya penduduk dan pengunjung di sekitar Luak Bay, dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada serta mengelakkan daripada menghampiri tebing sungai atau kawasan air sepanjang operasi dijalankan.
“Kerjasama orang ramai juga penting dengan tidak melakukan sebarang tindakan sendiri sekiranya terserempak dengan buaya dan segera memaklumkan kepada pihak berkuasa atau pasukan operasi,” menurut hantaran tersebut.
Operasi pemantauan dan usaha menangkap buaya berkenaan akan diteruskan bagi memastikan keselamatan penduduk di kawasan terbabit.
Oleh Liong Chai Ling




