KUCHING: Kerajaan Sarawak tidak bersikap tamak dalam memperjuangkan formula baharu pemberian khas di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), sebaliknya hanya mahu satu mekanisme yang adil, telus dan mengambil kira kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, formula berkenaan telah dikemukakan kepada Kerajaan Persekutuan, namun masih belum mendapat persetujuan.
Menurutnya, cadangan tersebut secara asasnya mengambil kira sumbangan Sarawak kepada dana Kerajaan Persekutuan, dengan jumlah pemberian boleh berubah mengikut keadaan fiskal semasa.
“Kalau Kerajaan Persekutuan menyatakan pada tahun itu keuntungan Kerajaan Persekutuan tidak banyak, ada masalah kewangan, kita pun terima kurang.
“Yang penting, seperti saya kata tadi, ada formula tetap untuk menentukan supaya ada kepastian, supaya ada ketelusan dan keadilan,” katanya ketika menjadi tetamu Podcast Borak Kenyalang episod kedua yang dikendalikan moderator wartawan Utusan Sarawak, Shahrul Qaizat, di sini hari ini.
Sharifah Hasidah berkata, jumlah sebenar yang diterima bukan perkara utama bagi Sarawak, sebaliknya kewujudan formula tetap yang membolehkan jumlah pemberian ditentukan secara jelas berdasarkan keadaan ekonomi dan kewangan semasa.
“Berapa jumlah itu perkara kedua. Yang penting ialah kiraan formula itu. Formula itu yang menentukan ketetapan dan ketelusan,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan tersebut membolehkan pemberian kepada Sarawak meningkat ketika kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan kukuh, namun berkurangan sekiranya keadaan fiskal negara lebih terhad.
“Kalau Kerajaan Persekutuan pada tahun itu kukuh, bagus, dananya bagus, pendapatan bagus, kita dapat lebih sedikit. Kalau kedudukan ekonomi Kerajaan Persekutuan kurang baik, tidak ada banyak wang, kita dapat kuranglah.
“Kita faham. Kita adil. Formula ini adalah formula yang sangat adil,” katanya.
Menurutnya, Kerajaan Sarawak juga tidak mahu dilihat sebagai menuntut sesuatu yang berlebihan kerana apa yang diperjuangkan adalah hak yang didakwa telah dijanjikan ketika pembentukan Malaysia.
“Kita cuma mahu kembalikan hak kita yang banyak terhakis. Hak-hak kewangan kita, hak-hak minyak dan gas kita, hak pentadbiran negeri kita, banyak.
“Jadi sebenarnya, Kerajaan Sarawak kita tidak tamak dan kita tidak minta lebih. Kita hanya mahu memperjuangkan hak kita yang telah dijanjikan,” katanya.
Mengenai kelewatan persetujuan terhadap formula berkenaan, Sharifah Hasidah berkata, perkara itu perlu dirujuk kepada Kerajaan Persekutuan kerana Sarawak telah mengemukakan cadangannya tetapi belum mendapat persetujuan.
“Ya, mereka memang belum bersetuju. Sebab itu mereka mengumumkan bayaran interim ini, bayaran sementara.
“Kenapa mereka setuju atau tidak setuju, itu saya tidak boleh jawab. Macam-macam alasan mungkin, tetapi bagi Sarawak kita akan tetap mahu memastikan agar formula ini akhirnya dipersetujui,” katanya.
Cadangan formula berasaskan perkongsian hasil itu turut menjadi antara perkara yang dinyatakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, baru-baru ini.
Abang Johari berkata Sarawak mencadangkan pemberian khas ditentukan berdasarkan perkongsian hasil Kerajaan Persekutuan antara lima hingga 10 peratus, bergantung kepada kedudukan fiskal negara, dengan prinsip ‘kalau banyak, kongsi banyak; kalau rendah, kongsi rendah’.
Cadangan tersebut dibincangkan dalam rundingan MA63 dan menurut Abang Johari, pendekatan itu mengambil kira kemampuan, keupayaan serta kapasiti Kerajaan Persekutuan.
Perkembangan itu susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sambutan Hari Malaysia di Kuching pada 16 September lalu bahawa pemberian khas interim Sarawak dinaikkan daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion bagi tahun ini, sementara rundingan diteruskan untuk memuktamadkan formula pemberian khas tahunan.
Sebelum pengumuman berkenaan, Sarawak telah beberapa kali menegaskan keperluan mempunyai formula yang jelas bagi menentukan pemberian khas di bawah Artikel 112(D) Perlembagaan Persekutuan.
Pada 8 September lalu, Sharifah Hasidah turut menjelaskan bahawa Sarawak telah mengemukakan formula kepada Kerajaan Persekutuan, namun persetujuan masih belum dicapai.
Dalam perkembangan berkaitan, cadangan perkongsian hasil turut mendapat perhatian apabila Dato Lo Khere Chiang sebelum ini berpandangan Sarawak wajar menerima 50 peratus daripada hasil cukai yang dikutip dari negeri itu sekiranya janji terdahulu mengenai perkara tersebut dijadikan penanda aras. Pandangan berkenaan adalah pendirian beliau sendiri dan berbeza daripada cadangan formula lima hingga 10 peratus yang diketengahkan Premier Sarawak.
Perbincangan mengenai formula pemberian khas dan perkongsian hasil itu merupakan antara isu utama yang dibawakan dalam Podcast Borak Kenyalang episod kedua, yang turut mengupas pelaksanaan MA63, hak kewangan Sarawak, representasi politik serta hubungan negeri dengan Kerajaan Persekutuan.
Oleh Afiq Sallehi




