Bayaran interim RM1.5 billion untuk Sarawak, tiada punya asas kiraan – Sharifah Hasidah

Facebook
WhatsApp
DATUK Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali ketika menjadi tetamu Podcast Borak Kenyalang episod kedua membincangkan isu MA63, termasuk pemberian khas Sarawak, bayaran interim RM1.5 bilion, hak kewangan negeri.

KUCHING: Bayaran interim RM1.5 bilion kepada Sarawak yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena sambutan Hari Malaysia di sini baru-baru ini masih belum mempunyai asas kiraan yang muktamad selagi formula khas pemberian di bawah Artikel 112(D) Perlembagaan Persekutuan belum dipersetujui Kerajaan Persekutuan.

Jumlah itu dinaikkan daripada RM600 juta sebelum ini dan berkuat kuasa tahun ini, dengan Kerajaan Persekutuan akan meneruskan rundingan bersama kerajaan negeri bagi memuktamadkan formula yang mampan untuk menentukan kadar Pemberian Khas tahunan kepada Sarawak.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, bayaran berkenaan masih dianggap interim kerana formula yang menjadi asas menentukan jumlah geran khas Sarawak belum dimuktamadkan.

Menurutnya, geran khas berkenaan merupakan hak kewangan Sarawak yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan berkait dengan kedudukan Sarawak dalam pembentukan Malaysia menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Selagi formula yang kita kemukakan sebagai asas kiraan geran ini belum dipersetujui dan belum diluluskan, kita menganggap segala pembayaran yang diberikan di bawah Artikel 112(D) ini masih interim.

“Sementara menunggu keputusan akhir mengenai formula khas yang kita kemukakan,” katanya ketika menjadi tetamu Podcast Borak Kenyalang episod kedua yang dikendalikan moderator wartawan Utusan Sarawak, Shahrul Qaizat, di sini hari ini.

Sharifah Hasidah berkata, Sarawak mahu satu formula khusus diwujudkan bagi menentukan jumlah geran khas yang diterima setiap tahun, sekali gus memberikan ketetapan dan ketelusan dalam mekanisme pemberian berkenaan.

Beliau berkata, keadaan ketika ini menyebabkan jumlah bayaran yang diterima Sarawak boleh berubah kerana belum ada asas kiraan yang dipersetujui secara muktamad.

“Itulah yang penting. Kita kemukakan formula supaya ada ketetapan, transparansi dan kita tahu apa yang kita akan dapat, sama ada besar atau kecil,” katanya.

Menurutnya, Sarawak tidak mahu pemberian khas itu terus diberikan secara interim tanpa satu mekanisme jangka panjang yang dapat menentukan jumlah bayaran berdasarkan formula yang jelas.

Beliau menegaskan, formula berkenaan penting bagi memastikan Sarawak mempunyai kepastian mengenai jumlah geran yang bakal diterima serta asas bagaimana angka tersebut ditentukan.

“Jadi, formula ini sangat penting untuk kita mendapatkan kepastian dan ketelusan,” katanya.

Dalam pada itu, Sharifah Hasidah berkata, RM1.5 bilion yang diumumkan Kerajaan Persekutuan tetap diterima baik oleh Sarawak, namun bayaran itu tidak dilihat sebagai penyelesaian muktamad kepada isu pemberian khas.

“Walaupun banyak, kita terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, tetapi ini masih bayaran interim,” katanya.

Pengumuman RM1.5 bilion itu dibuat Anwar ketika berucap pada sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada 16 September lalu. Dalam pengumuman sama, beliau berkata rundingan akan diteruskan bagi memuktamadkan formula mampan untuk menentukan kadar Pemberian Khas tahunan Sarawak.

Perbincangan berhubung pemberian khas Sarawak itu merupakan antara isu utama yang dibawakan dalam Podcast Borak Kenyalang episod kedua, yang turut mengupas pelaksanaan MA63, hak kewangan Sarawak, representasi politik serta hubungan negeri dengan Kerajaan Persekutuan.

Oleh Afiq Sallehi