KUCHING: Hasil yang disumbangkan Sarawak kepada Persekutuan lebih tinggi berbanding jumlah bajet yang diterima negeri ini daripada Persekutuan.
Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, perkara itu dilihat ketika perbincangan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang berlangsung di Kota Kinabalu sebelum ini.
“Hasil kita lebih tinggi daripada apa yang diberikan kepada kita di Sarawak. Bajet kita lebih kecil berbanding bajet mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Transformasi Syarikat Milik Kerajaan Negeri Sarawak Fasa 2 di sini, hari ini.
Beliau turut membangkitkan perkara itu selepas melihat perbandingan antara hasil Sarawak dengan jumlah yang diterima negeri daripada Persekutuan.
“Sarawak mahu menjadi negeri berpendapatan tinggi supaya rakyat turut menikmati pendapatan boleh guna yang lebih tinggi.
“Peningkatan hasil dan produktiviti perlu disusuli ganjaran yang lebih baik kepada pihak yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.
“Jika kita menghasilkan lebih banyak, kita sepatutnya mendapat ganjaran yang lebih baik,” jalasnya.
Untuk rekod, dalam perbincangan MA63 di Kota Kinabalu pada 11 September lalu, kerajaan negeri dan Persekutuan bersetuju untuk membincangkan satu formula yang lebih jelas berkaitan perkongsian hasil dengan Sarawak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata formula berkenaan perlu mengambil kira kedudukan kewangan serta kemampuan Persekutuan, manakala Sarawak turut mengemukakan pandangannya mengenai mekanisme yang lebih jelas.
Abang Johari sebelum ini menyifatkan cadangan formula berkenaan sebagai pendekatan yang boleh memberi manfaat kepada kedua-dua pihak, dengan mengambil kira kemampuan kewangan negara.
Oleh Masrin Affirah




