KABONG: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) amat menitikberatkan pembangunan serta kesejahteraan rakyat di Sarawak dengan menyediakan pelbagai bantuan dalam mendepani penularan pendemik Covid-19 ketika ini.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Mohd Chee Kadir, Kerajaan Sarawak telah melancarkan Pelan Tindakan Pemulihan bagi memastikan Sarawak mempunyai perancangan mantap untuk menangani Covid-19 serta dapat membangun semula menuju ke arah negeri maju pada 2030.
Ujarnya, fokus utama Kerajaan Sarawak ketika ini adalah untuk membangunkan infrastruktur menggunakan pendapatan tambahan agar Sarawak seiring dengan negeri di Semenanjung.
“Inilah yang hendak Kerajaan Sarawak buat sekarang. Kalau kita mempunyai infrastruktur yang bagus, kita dapat membangun secara fizikal, ekonomi dan sistem sokongan untuk rakyat yang miskin juga banyak,” katanya.
Menjelas lanjut, Chee Kadir memberitahu, Sarawak satu-satunya negeri yang memberikan bantuan sokongan kepada rakyatnya.
Beliau berkata demikian pada Program #KitaBersama: RTCares Daerah Kabong bertempat di Dewan Masyarakat Kampung Nyabor semalam.
Program Perpaduan Komuniti KRT #KitaBersama: RTCares ini merupakan satu inisiatif Kementerian Perpaduan Negara (KPN) bagi memastikan kesejahteraan komuniti semasa pandemik Covid-19 melalui pemerkasaan tanggungjawab Komuniti Rukun Tetangga.
Program ini melibatkan dua gerak kerja iaitu bantuan bakul makanan dan keperluan asas serta perkhidmatan community outreach.
Program ini berteraskan kepada konsep RT4ALL atau RTCares untuk semua golongan masyarakat tanpa mengira perbezaan latar belakang dengan matlamat utama adalah untuk membantu golongan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
Selain itu, program ini memperkukuhkan tanggungjawab sosial kementerian membantu golongan yang terjejas dengan pandemik Covid-19 melalui pemerkasaan Komuniti Rukun Tetangga.
Antara lain, objektif program ini ialah menggerak dan memperkukuhkan peranan KRT dalam memastikan kelangsungan dan kesejahteraan hidup komuniti semasa tempoh pandemik.
Dalam perkembangan lain, Chee Kadir mahu semua pihak harus fokus dan bersatu dalam menangani pandemik Covid-19 yang memberikan kesan kepada seluruh masyarakat.
Katanya, semua perbezaan politik harus diketepikan terlebih dahulu demi menangani isu yang lebih besar ketika ini.
“Kita harus fokus dan memberi penekanan bagaimana harus menangani Covid-19 dimana ia memberikan kesan besar kepada semua pihak ketika ini,” ujarnya.
Chee Kadir berkata, kebersatuan keamanan dan perpaduan ketika ini amat diperlukan demi mencapai satu jalan penyelesaian boleh melegakan semua.
Katanya, antara perkara yang memerlukan keutamaan ketika ini adalah vaksinasi, bantuan dan perkara-perkara berkaitan Covid-19.
“Jika ia dapat dicapai, saya percaya negara kita dapat bangkit bersama membangun setelah wabak Covid-19 berakhir,” ujarnya.
Turut hadir Pengarah Jabatan Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional Negeri Sarawak, Dirwana Azool dan Pegawai Jabatan Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional Bahagian Betong, Thompson Ted.
Oleh ADI SAFARMAN