PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menetapkan 7 Januari tahun depan untuk keputusan rayuan Majlis Peguam berhubung permohonan kebenaran memulakan semakan kehakiman untuk mencabar keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengurangkan hukuman penjara dan denda Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes SRC International Sdn Bhd.
Peguam Zainur Zakaria yang mewakili Majlis Peguam mengesahkan tarikh itu kepada Bernama.
Pada 31 Julai, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dianggotai Datuk Lim Chong Fong, Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Leonard David Shim mendengar rayuan itu namun menangguhkan keputusannya.
Majlis Peguam membuat rayuan itu selepas Mahkamah Tinggi pada November 2024 menolak permohonannya untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Lembaga Pengampunan.
Pada 26 April 2024, Majlis Peguam memfailkan semakan kehakiman itu dengan menamakan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya serta Najib sebagai responden.
Ia memohon deklarasi bahawa keputusan Lembaga Pengampunan pada 29 Januari 2024 mengurangkan hukuman Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun yang menyaksikan bekas Perdana Menteri itu dibebaskan lebih awal, iaitu pada 23 Ogos 2028 adalah tidak sah, tidak berperlembagaan dan batal.
Majlis Peguam juga memohon deklarasi bahawa keputusan Lembaga Pengampunan mengurangkan denda Najib daripada RM210 juta kepada RM50 juta adalah tidak sah, tidak berperlembagaan dan batal.
Najib, 73, menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan dengan kesalahan menyeleweng RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja pada 2 September 2022.
Pada 18 September tahun ini, Najib diberi pengampunan diraja bersyarat yang membolehkannya menjalani baki hukuman penjara secara tahanan dalam rumah, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta itu.
Semalam, Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata Najib masih belum membayar denda itu.- Bernama





