MIRI: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri telah mengadakan tinjauan di tiga lokasi Sekatan Jalan Raya (SJR) di sini iaitu SJR Lambir, Beluru dan Bakam.
Tinjauan itu diketuai oleh Menteri Bertanggungjawab bagi JPBB Miri dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM), Adam Yii.
“Lengkap dua dos vaksin, permit polis dan surat majikan daripada perkhidmatan perlu antara dokumen diperlukan untuk mendapat kelulusan permit rentas daerah di bahagian ini yang dilaksanakan serta-merta.
“Sehubungan itu, bagi orang ramai yang ingin memohon permit untuk rentas daerah (Miri, Subis, Marudi, Beluru dan Telang Usan) dalam Bahagian Miri perlu mematuhi ketetapan syarat-syarat yang diluluskan oleh JPBB Miri,” demikian kata Lee yang juga merupakan Menteri Pengangkutan Sarawak selepas mengadakan tinjauan tersebut.
Lee berharap SJR ini diperketatkan dan tidak bertolak ansur dengan mana-mana pemandu yang tidak memilik permit atau bertujuan ke daerah lain untuk menghadiri majlis sosial.
“Pihak berkuasa tidak akan meluluskan permit rentas daerah untuk aktiviti sosial serta urusan peribadi menghadiri majlis sosial dan aktiviti sosial seperti menyambut hari jadi, berburu dan perayaan,” katanya.
Ketika lawatan di SJR Bakam, beliau turut memaklumkan pihak JKR Miri agar mengambil tindakan segera berhubung dengan kedudukan SJR Bakam untuk memindahkan ke tempat yang tidak terlalu dekat dengan laluan jalan raya.
Dalam lawatan itu, Lee turut menyampaikan pek makanan berserta dengan bahan sanitasi dan pelitup muka kepada petugas barisan hadapan dan juga menyampaikan ucapan ringkas bagi memberikan motivasi serta kata-kata perangsang kepada semua petugas untuk meningkatkan semangat pegawai dalam bersama-sama memerangi dan menyekat penularan pandemik Covid-19.
Oleh LIONG CHAI LING