KUALA LUMPUR: Perancangan untuk individu neurodivergent tidak hanya terhad pada peringkat kanak-kanak, sebaliknya perlu merangkumi keperluan sepanjang hayat, khususnya apabila ibu bapa dan penjaga mereka semakin berusia.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata perkara itu semakin penting apabila golongan itu kini mempunyai jangka hayat lebih lama, selain Malaysia bakal menjadi masyarakat menua dengan golongan berusia 60 tahun dan ke atas membentuk 15 peratus populasi menjelang 2036.
“Hari ini, kita berdepan dengan dua realiti. Pertama, apabila penjagaan kesihatan dan keadaan kehidupan bertambah baik … dan kedua, Malaysia sedang melalui peralihan pesat ke arah status negara menua … .
“Tanggungjawab penjagaan tidak boleh terus diletakkan kepada keluarga, khususnya wanita, tanpa sokongan yang mencukupi. Ia perlu dilihat sebagai tanggungjawab bersama yang melibatkan keluarga, komuniti, kerajaan dan sistem penjagaan yang lebih luas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada forum “The Next Chapter: Planning for Neurodivergent Lives and Ageing Families” di sini hari ini. Neurodivergent bermaksud otak yang berfungsi dengan cara berbeza daripada apa yang dianggap norma.
Nancy berkata perkara itu termasuk penjagaan khusus, pengaturan tempat tinggal, perancangan kewangan, program sokongan untuk golongan dewasa, persekitaran inklusif dan integrasi sosial.
Usaha berkenaan perlu diselaraskan dengan Pelan Tindakan Nasional Orang Kurang Upaya 2026 hingga 2030, Pelan Tindakan Warga Emas Negara 2026-2030 serta Kerangka Strategik dan Pelan Tindakan Ekonomi Penjagaan Malaysia 2026 hingga 2030.
Sementara itu, Presiden Malaysian Healthy Ageing Society (MHAS) Profesor V. Nathan berkata Malaysia memerlukan maklumat nasional yang menyeluruh mengenai kanak-kanak, orang dewasa dan warga emas autistik bagi memahami keperluan mereka dengan lebih baik apabila populasi semakin berusia.
Beliau berkata perkhidmatan perlu diperluas melangkaui intervensi zaman kanak-kanak bagi menangani isu penjagaan kesihatan, persekitaran tidak mesra deria, kesunyian, kesukaran bergerak dan tekanan penjaga, selain melibatkan individu neurodivergent dalam merancang merangka perkhidmatan.
Pengasas Oasis Place Dr Choy Sook Kuen berkata Malaysia juga memerlukan lebih ramai profesional penjagaan kesihatan dan kesihatan bersekutu yang berkelayakan serta penjaga yang lebih terlatih, termasuk ibu bapa, adik-beradik, pasangan dan penjaga lain.
Forum anjuran MHAS dengan kerjasama Oasis Place itu menghimpunkan profesional penjagaan kesihatan dan penjagaan sosial, penjaga, pejuang hak serta pihak berkepentingan lain bagi membincangkan keperluan jangka panjang golongan dewasa neurodivergent dan keluarga mereka. – Bernama





