75 kucing ditemukan dalam apartmen kecil di Paris selepas penyewa dihalau

Facebook
WhatsApp
75 KUCING DITEMUKAN... Lebih 75 ekor kucing ditemukan dalam sebuah apartmen seluas kira-kira 50 meter persegi di Paris selepas penyewa diusir, dengan sebahagiannya memerlukan rawatan veterinar. Foto AGENSI

PARIS: Aktivis kebajikan haiwan menemukan lebih 75 ekor kucing di sebuah apartmen kecil di Paris, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa), memetik media Perancis pada Isnin.

Penemuan itu selepas satu pengusiran paksa dari apartmen perumahan sosial di daerah (arondisemen) ke-15, polis dan seorang bailif meminta bantuan badan amal YouCare, lapor akhbar Le Parisien. 

Ketika mereka melawat pada Khamis, para sukarelawan menemukan 75 ekor kucing di apartmen itu, yang berukuran kira-kira 50 meter persegi, kata pengerusi pertubuhan itu, Thomas Moreau.

Haiwan tersebut telah dipelihara di sana dalam keadaan yang teruk, dan ada yang dibawa ke klinik veterinar.

“Bangkai anak kucing juga ditemukan di dalam peti sejuk,” kata Moreau.

Badan amal itu tidak dapat mengambil semua kucing berkenaan sekali gus dan melancarkan rayuan untuk mendapatkan bantuan.

Kira-kira 30 ekor kucing terpaksa ditinggalkan di apartmen itu buat sementara waktu dan dijaga oleh sukarelawan.

Pengerusi badan amal itu memberitahu media, kejadian tersebut kemungkinan kes penimbunan haiwan (animal hoarding) atau sindrom Noah.

Individu yang mengalami keadaan psikiatri berkenaan cenderung menyimpan sejumlah besar haiwan peliharaan di dalam ruang terkurung tanpa dapat menjaga, memberi makan atau menyediakan rawatan perubatan sewajarnya.- Bernama-dpa