SAMBUNGAN kisah Lang Endang yang dibincangkan sebelum ini memperlihatkan bahawa beliau bukanlah seorang yang mudah menyerah kalah.
Sebaliknya, beliau terus berusaha menentang pemerintahan Brooke dalam usaha mengembalikan semula pengaruh dan kekuasaannya yang cuba dinafikan oleh pemerintahan Brooke.
Sebagai seorang yang berpengaruh, beliau tetap mempunyai sokongan daripada penduduk sekitar Skrang. Ikrar penduduk Iban Skrang untuk taat setia kepada pemerintahan Brooke tidak menjamin janji itu dikota oleh penduduk Skrang.
Malah mereka juga belum dapat menyesuaikan corak pemerintahan Brooke. Taat setia penduduk ketika itu masih lagi tidak sepenuhnya kepada pemerintahan Brooke.
Pengaruh kepimpinan tempatan masih tetap utuh untuk mereka akui sebagai pemimpin mereka. Atas sebab itu, gerak geri Lang Endang sukar dihapuskan secara total oleh pemerintah Brooke.
Kembali
Hal ini dapat dilihat pada tahun 1880 apabila Lang Endang mengumpul kekuatannya dalam kalangan penduduk Skrang. Dilaporkan penduduk Skrang di Tanjung, Badi dan beberapa kawasan lain telah menunjukkan sokongan kepada Lang Endang.
Beliau memperlihatkan keupayaan menggunakan pelbagai helah dan strategi untuk mengelakkan dirinya daripada ditangkap oleh pihak kerajaan, meskipun terdapat pemimpin tempatan yang cuba menghalang pergerakannya. Beberapa usaha untuk menangkap beliau menemui kegagalan, dan akhirnya berjaya kembali ke Entabai.
Bagi menundukkan Lang Endang, pihak kerajaan membuat persiapan untuk melancarkan serangan terhadap beliau di kawasan persembunyiannya. Usaha ini digerakkan oleh Jabu dari Hilir Skrang bersama-sama Apai Insol dari Saribas yang berjaya mengumpulkan kira-kira 300 orang untuk menyertai gerakan tersebut.
Sementara itu, kumpulan kedua yang diketuai oleh Utek turut dibentuk dengan kekuatan yang lebih kecil dan bergerak melalui laluan yang berbeza.
Pasukan Jabu dan Apai Insol kemudiannya mara ke Bukit Sitolak, tempat Lang Endang dan para penyokongnya berlindung. Dalam perjalanan tersebut, mereka memusnahkan rumah-rumah dan menjarah harta benda yang ditemui sebelum meneruskan kemaraan ke kaki Bukit Sitolak.
Semasa mara ke Bukit Sitolak, mereka telah bertembung dengan penduduk Skrang yang pernah menyokong Lang Endang sebelum ini. Kumpulan tersebut, yang terdiri daripada golongan lelaki, wanita, dan kanak-kanak, menuruni bukit sambil membawa barang-barang milik mereka.
Mereka meminta perlindungan daripada Jabu untuk membolehkan mereka pulang ke Skrang. Tekanan hidup dan kebuluran yang dialami sepanjang bersama Lang Endang telah menyebabkan mereka berpaling tadah daripadanya. Selepas berunding dengan Jabu, mereka akhirnya diberikan kebenaran untuk kembali ke Skrang.
Menjejak
Akibat daripada pengikutnya yang berpaling tadah sokongan kepada Lang Endang semakin berkurangan. Atas tujuan itu Lang Endang menghantar satu utusan perdamaian untuk memohon agar pihak kerajaan tidak melancarkan serangan terhadapnya, di samping menyatakan kesediaannya untuk menyerah diri kepada kerajaan.
Sebagai tanda keikhlasan, beliau berjanji akan menyerahkan beberapa tempayan ke Simanggang. Pasukan kerajaan akhirnya berundur sebaik mendengar jaminan ahli keluarganya yang berikrar akan memulaukan Lang Endang jika beliau mungkir janji.
Pada masa sama, pasukan kedua di bawah pimpinan Utek turut mara menerusi Sungai Skrang bagi tujuan sama. Bagaimanapun, pasukan Utek tidak begitu bersemangat dalam pertempuran tersebut sehingga kemajuan mereka agak perlahan.
Dalam kejadian itu, hanya satu korban nyawa dilaporkan, iaitu seorang saudara mara terdekat Ansi yang menjadi sekutu Lang Endang. Pasukan tersebut juga menemui dan merampas tempayan-tempayan bernilai yang disorokkan oleh orang Tanjung di hulu anak sungai.

Pengambilan
Sementara itu, Jabu dan Apai Insol telah menugaskan seorang ketua masyarakat bernama Salleh untuk menuntut janji daripada Lang Endang bagi mendapatkan tempayan yang telah dijanjikan sebelum ini.
Beliau telah berjaya memperoleh tempayan-tempayan tersebut daripada Lang Endang dan membawanya ke Simanggang. Tempayan-tempayan tersebut dianggarkan bernilai $300.
Semasa Raja Charles Brooke mengadakan lawatan ke Simanggang, Salleh telah tiba dengan membawa tempayan-tempayan milik Lang Endang. Di Simanggang, satu perhimpunan besar yang dihadiri oleh masyarakat Iban telah diadakan, dan Raja telah menyampaikan beberapa keputusan penting.
Antaranya, Rajah mengumumkan pembukaan semula Sungai Skrang untuk laluan pengangkutan air dan menetapkan bahawa baki denda ke atas penduduk hilir Skrang dilunaskan menggunakan sebahagian daripada barangan rampasan yang ditemui.
Selain itu, Salleh diarahkan untuk berhubung dengan Lang Endang bagi mengarahkannya berpindah ke kawasan hilir Sungai Rejang, di samping menyerahkan dua tempayan Rusa ke Kubu Sibu sebagai cagar jaminan perlakuan baik.
Akhir sekali, pengikut Lang Endang iaitu Ansi dan Abun diwajibkan menyerah diri tanpa syarat, dan diarahkan untuk kembali ke kediaman asal mereka di Entabai.
Tekanan daripada pihak pemerintah Brooke ini menyebabkan Lang Endang gagal mendapat sokongan penuh penduduk tempatan di Skrang. Malahan penggunaan pemimpin tempatan Skrang melawan beliau menyebabkan beliau sukar untuk membina kekuatan sendiri.
Rampasan
Pengikut-pengikut beliau juga sering diawasi oleh pihak kerajaan. Dalam rampasan dilakukan oleh Residen Rejang, Brooke Low menyentuh tentang beberapa orang pengikutnya membawa 20 pucuk senapang Tower Enfield dan sejumlah kecil ubat bedil.
Residen bertindak merampas senjata-senjata serta ubat bedil itu, dan kemudiannya menengelamkan senjata-senjata ini.
Atas sebab itu jalan terbaik dilakukan oleh Lang Endang hanya akur dengan pemintaan pihak pemerintah Brooke. Akhirnya beliau tidak lagi menjadi masalah kerajaan dan tinggal di Kanowit dalam usia tua.
Kerajaan bukan sahaja berjaya menghapuskan penentangan Lang Endang, malah turut berjaya menjadikan masyarakat Iban di Skrang sebagai pengikut setia pentadbiran Brooke. Hasilnya, penduduk Skrang beransur-ansur akur dengan pemerintahan Brooke dan tidak lagi menimbulkan ancaman atau masalah.
Dr. Suffian Mansor adalah Pensyarah Kanan, Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia.





