SRI AMAN: Pelaksanaan Program ‘Info On Wheels’ (IOW): Hebahan Awam terus dipergiat oleh pihak Jabatan Penerangan (JaPen) Daerah Sri Aman di penempatan penduduk sekitar kawasan ini.
Terbaharu penempatan Rumah Lina Busang, Bayai C di sini telah dipilih oleh JaPen Daerah Sri Aman sebagai lokasi pelaksanaan program tersebut dengan hebahan tertumpu kepada dua perkara penting.
Hebahan pertamanya mengenai Amalan Pembudayaan Norma Baharu CAPP – Cegah, Amalkan, Patuhi dan Pantau manakala hebahan kedua pula adalah mengenai peralihan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dari peringkat Fasa 2 ke Fasa 3 dalam negeri ini.
“Bersempena dengan program itu juga pihak kami turut mengambil kesempatan mengedar 11 barangan merangkumi risalah, poster dan buku kecil untuk kegunaan penduduk di Kampung Bayai C serta sekitarnya.
“Antaranya ialah poster Jalur Gemilang, templat Permai Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia, Juluk 1 Pengelantang Rakyat, buku kecil Inti Parti Belanjawan 2021, Norma Baharu Vaksinasi Covid-19 dan templat Jalur Gemilang,” kata jurucakap program.
Beliau turut menambah barangan itu juga turut merangkumi buku Rukun Negara, risalah hindari aktiviti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran, norma baharu bagi mencegah penularan Covid-19 dan poster ‘Together We Prevent Coronavirus 19’.
“Selain mengedar barangan tersebut, pihak kami juga melaksanakan Kempen Bulan Kebangsaan 2021 bagi mengekalkan semangat patriotisme dalam kalangan penduduk di kawasan kampung ini.
“Justeru diharap agar pelaksanaan Program ‘Info On Wheels’ (IOW): Hebahan Awam ini dapat mempertingkatkan kesedaran mengenai usaha memerangi penularan Covid-19 dan lain-lain perkara bersempena dengan sambutan Bulan Kebangsaan 2021,”kata beliau.
Turut hadir Penolong Pegawai Penerangan Sri Aman, Jessecca Gilbert Bunsu, Pembantu Penerangan, Stanley Clarence Eddie, Pembantu Penerangan, Mohd Fakri Zafran dan JAV Fadil Sulaiman.
Oleh VALENTINE NGUMBANG