TATAU: Jajaran Redline Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak sepanjang hampir 137 kilometer dibahagikan kepada dua kategori, iaitu Short Stretch dan Long Stretch bagi memudahkan pelaksanaan serta pemantauan kerja naik taraf.
Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi berkata, Short Stretch melibatkan kira-kira 17 kilometer manakala lebih 119 kilometer lagi dikategorikan sebagai Long Stretch.
“Ini penting, jadi kita bahagikan 136.74 kilometer ini kepada Short Stretch dan Long Stretch supaya pelaksanaan kerja lebih efisien dan memudahkan kita memantau kerja,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan turun padang bagi meninjau pelaksanaan projek berkenaan di sini, hari ini.
Menurut Nanta, jajaran Redline merupakan bahagian yang ditinggalkan ketika projek Lebuh Raya Pan Borneo dirancang dan dilaksanakan pada peringkat awal.
Katanya, laluan berkenaan ketika itu hanya dilengkapi lorong memotong dan belum mencapai tahap projek Lebuh Raya Pan Borneo.
Beliau berkata, pelaksanaan kerja bagi Long Stretch sedang diperhalusi, dengan sektor Salim-Durin dikenal pasti antara lokasi yang memerlukan lebih banyak kerja naik taraf.
“Yang paling besar dan paling banyak kerja di Long Stretch itu adalah di Salim-Durin,” katanya.
Sementara itu, kerja naik taraf Short Stretch sepanjang 17.1 kilometer melibatkan sembilan lokasi di Lachau, Selangau, Balingian, Kemena, Sebiew dan Tudan dengan peruntukan RM119 juta.
Nanta berkata, kerja berkenaan dijangka dilaksanakan dalam tempoh 16 bulan, namun kontraktor disasarkan menyiapkannya lebih awal.
Ujarnya, usaha itu penting bagi memastikan keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya di Sarawak terus diberi keutamaan.
Oleh Carolyne Utih





