TANJUNG MANIS: Penganjuran Pertandingan Memancing GP Belawai tidak seharusnya dilihat sekadar pentas untuk memburu hasil tangkapan dan merebut ganjaran lumayan, sebaliknya ia merupakan instrumen penting yang berjaya menyatukan komuniti dan memacu sosioekonomi setempat.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, pertandingan tersebut merupakan satu platform yang menghimpunkan masyarakat daripada pelbagai latar belakang menerusi minat yang sama.
”Apabila kita menyebut GP Belawai, mungkin perkara pertama yang terlintas dalam fikiran kita ialah pertandingan memancing, hadiah wang tunai dan ikan-ikan yang berjaya dinaikkan.
“Tetapi secara peribadi, bagi saya, GP Belawai membawa makna yang jauh lebih besar daripada itu,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang berkata demikian ketika berucap di Majlis Penangguhan Pertandingan Memancing GP Belawai Siri 2/2026 di sini, semalam.
Selain acara utama di pesisir pantai, Len Talif memuji inisiatif penganjur yang tidak meminggirkan golongan lain dengan menyelitkan pelbagai program sokongan, termasuk Pertandingan Memasak Siput Sedut dan Ketam serta Pertandingan Mewarna anjuran bersama Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE).
Mengulas lanjut mengenai penganjuran acara tersebut, beliau memberikan penghargaan khusus atas sinergi cemerlang antara Jabatan Perikanan Laut Sarawak dan Iftitah Restaurant & Resort yang telah mengangkat nama Belawai sebagai destinasi utama pemancing.
”Ini merupakan contoh yang sangat baik tentang bagaimana agensi kerajaan dan pihak swasta boleh berganding bahu menghasilkan sesuatu yang memberi manfaat kepada masyarakat.
“Iftitah Restaurant & Resort telah berjaya menganjurkan pertandingan ini sejak hampir sekad lalu dan konsistensi ini bukanlah sesuatu yang mudah.
”Penglibatan Jabatan Perikanan Laut Sarawak pula memberikan satu lagi dimensi penting. Jabatan bukan sekadar memeriahkan pertandingan, tetapi memantau aktiviti memancing rekreasi ini bagi memastikan ia dijalankan secara bertanggungjawab dan tidak menjejaskan kelestarian sumber perikanan kita,” katanya.
Dalam pada itu, Len Talif turut menyifatkan peningkatan hadiah wang tunai keseluruhan kepada hampir RM20,000 pada Siri 2 kali ini, dengan juara membawa pulang RM12,000, sebagai suntikan semangat yang amat tepat pada masanya.
Beliau turut mengimbau kejayaan GP Belawai Siri 1/2026 yang menyaksikan sejarah menarik apabila kejuaraan dimenangi oleh seorang pemancing wanita yang berjaya menaikkan ikan pari seberat 5.53 kilogram, sekali gus membawa pulang RM10,000.
”Ia membuktikan bahawa dalam pertandingan memancing, sesiapa sahaja mempunyai peluang untuk menjadi juara.
“Tidak kira lelaki atau wanita, berpengalaman ataupun peserta yang baru berjinak-jinak. Yang penting ialah kesungguhan, usaha, kesabaran dan sudah tentu sedikit rezeki daripada Allah SWT,” katanya.
Dengan berbaki satu lagi siri untuk dilengkapkan pada tahun ini, beliau menaruh harapan tinggi agar momentum kecemerlangan Siri 1 dan Siri 2 dapat diteruskan, di samping memperkukuh kerjasama strategik sedia ada.
”Pihak swasta mempunyai pengalaman menarik penyertaan, manakala jabatan kerajaan memainkan peranan dalam kawal selia, pemantauan dan pendidikan masyarakat.
“Apabila kedua-duanya digabungkan, kita mewujudkan satu program yang mempunyai nilai ekonomi, sosial dan alam sekitar secara serentak.
“Inilah bentuk kerjasama yang perlu kita galakkan,” katanya lagi.
Oleh Earl Anek





