BINTULU: Program Jangkauan Vaksinasi Minyak dan Gas yang diadakan atas pelantar minyak dijangka memulakan proses pemberian suntikan dos kedua pada 31 Ogos ini.
Menurut Pegawai Kesihatan Bahagian Bintulu, Dr. Melvin Chung, program tersebut adalah salah satu usaha PETRONAS Carigali Sdn Bhd-Sarawak Asset (PCSB-SKA) dengan Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu dan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bintulu Dato’ Seri Tiong King Sing dalam memperluas proses pemberian vaksin kepada pekerja industri minyak dan gas.
“Seperti yang sedia maklum, pekerja industri minyak dan gas banyak menghabiskan masa di pelantar minyak dan kemudiannya dikuarantin sebelum pulang ke rumah dan berjumpa keluarga masing-masing.
“Keadaan ini menyebabkan kekangan masa dan menyukarkan mereka untuk menepati janji temu yang ditetapkan dalam aplikasi MySejahtera,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Justeru itu, tambahnya, pihak PCSB-SKA dan Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu bekerjasama menubuhkan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pesisir Pantai E11, LS, B11 dan KAKG khusus untuk memberi vaksin Covid-19 kepada pekerja industri minyak dan gas yang belum mendapatkan vaksinasi atau terlepas tarikh dos kedua.
“Pasukan vaksinasi Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu diterbangkan khas bermula pada 10 hingga 15 Ogos lalu ke semua lokasi tersebut untuk memberi suntikan vaksin.
“Jumlah keseluruhan penerima vaksin adalah seramai 532 orang membabitkan 501 orang penerima dos pertama dan 31 orang penerima dos kedua.
“Pemberian vaksinasi kedua dijangka bermula 31 Ogos ini di lokasi yang sama,” jelas Dr Melvin.
Beliau memberitahu, menerusi program itu, ia juga boleh mempercepat dan menjimatkan masa vaksinasi serta kos.
“Selain itu, kaedah Mobile Outreach ini juga dapat memastikan tiada pekerja industri minyak dan gas yang ketinggalan dan tercicir untuk mendapatkan suntikan vaksin.
“Ini adalah penting untuk mengurangkan risiko sektor industri minyak dan gas daripada terjejas oleh pandemik Covid-19.
Saya harap dengan program sebegini, ia dapat mempercepat imuniti kelompok di Bintulu dan bebas daripada Covid-19,” ujarnya.
Sementara itu Pengurus Besar Kanan PCSB-SKA, Ruslan Abdul Ghani merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat atas sokongan dan kerjasama yang diberikan untuk merealisasikan PPV pesisir yang pertama di Malaysia.
“Pihak pengurusan PETRONAS sentiasa komited dalam memastikan keselamatan operasi minyak dan gas serta berusaha untuk mencapai imuniti kelompok pada hujung bulan ini,” katanya.
Oleh Carolyne Utih