DEBAK: Seekor ular sawa sepanjang kira-kira 2.4 meter berjaya ditangkap Angkatan Pertahanan Awam (APM) Debak selepas reptilia berkenaan ditemui berada di dalam sangkar kucing milik penduduk di Kampung Babu, semalam.
Menurut kenyataan media APM Debak, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan ular berkenaan yang mencetuskan kebimbangan kepada pemilik rumah.
Kehadiran reptilia itu dikhuatiri boleh mengancam keselamatan kucing yang berada di dalam sangkar, selain menimbulkan risiko kepada penghuni rumah dan orang di sekeliling.
Susulan laporan tersebut, pasukan APM Debak segera digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi menangkap dan mengeluarkan ular berkenaan.
Pasukan penyelamat menggunakan peralatan yang bersesuaian bagi mengawal reptilia itu dengan mengutamakan aspek keselamatan sepanjang operasi dijalankan.
Ular sawa tersebut akhirnya berjaya dikawal dan dikeluarkan dari sangkar kucing tanpa sebarang kejadian tidak diingini.
APM turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menghampiri atau cuba menangkap sendiri mana-mana haiwan liar sekiranya menemuinya di kawasan kediaman.
Sebaliknya, orang ramai diminta segera menghubungi pihak berkuasa atau pasukan penyelamat bagi mendapatkan bantuan dan memastikan keselamatan semua pihak.
Sebarang kecemasan boleh dilaporkan kepada Pusat Kawalan Operasi APM Debak di talian 083-464553 atau talian kecemasan MERS 999.
Oleh Adi Safarman



