Tuai Rumah diingat berwaspada individu guna lambang GPS

Facebook
WhatsApp
JILIN Itar yang mewakili Harden pada Program Pembangunan Komuniti MDSA di Rumah Julia Bayang, Sengkuang Ulu, Batu Lintang, semalam. Foto: ADUN Simanggang

SIMANGGANG: Semua Tuai Rumah di kawasan Batu Lintang, Undop, diingatkan supaya berwaspada terhadap individu yang didakwa bergerak di kawasan berkenaan dengan menggunakan lambang Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Setiausaha Sulit kepada Timbalan Menteri Pembangunan Bakat, Jilin Itar yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang, Datuk Francis Harden Hollis, berkata perkara itu merupakan antara pesanan Harden kepada masyarakat setempat.

Menurutnya, untuk penjelasan, kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang merupakan kerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dalam gabungan GPS dan Harden akan mempertahankan kerusi tersebut.

“Mana-mana individu yang berhasrat untuk bertanding hendaklah menggunakan lambang parti masing-masing atau bertanding sebagai calon bebas, bukannya menggunakan lambang GPS tanpa kebenaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Pembangunan Komuniti Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) di Rumah Julia Bayang, Sengkuang Ulu, Batu Lintang, dekat sini semalam.

Sehubungan itu, Jilin turut menggesa para Tuai Rumah supaya menggunakan pertimbangan yang bijak dalam menentukan hala tuju aspirasi kerajaan semasa, khususnya dalam memastikan urusan pembangunan serta kepentingan penduduk terus dapat dilaksanakan dengan lancar.

Program tersebut turut menjadi platform kepada wakil rakyat untuk menyantuni penduduk kampung, bertanya khabar selain mendengar serta menerima isu dan permasalahan yang dibangkitkan masyarakat setempat.

Selain sesi bersama penduduk, program berkenaan turut diisi dengan ceramah daripada lima agensi kerajaan berkaitan perkara yang dekat dengan kehidupan seharian masyarakat kampung.

Antara agensi yang terlibat ialah Pejabat Kesihatan Bahagian Sri Aman menerusi ceramah pencegahan penyakit bawaan nyamuk dan pameran kesihatan, Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian Sri Aman mengenai bantuan kebajikan serta insentif pemegang KGC, dan MDSA berkaitan pelesenan serta permit kedai kampung.

Turut mengambil bahagian ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) yang memberi penerangan mengenai jenayah siber dan penipuan dalam talian, manakala Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengadakan ceramah serta demonstrasi penggunaan alat pemadam api.

Pada program sama, turut diadakan perasmian projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) melibatkan kerja menurap jalan akses yang telah siap dengan kos RM200,000 serta projek menaik taraf gelanggang sepak takraw bernilai RM150,000.

Oleh Adi Safarman

Samirul, Rohani juara karaoke Pulau Bruit

PULAU BRUIT: Samirul muncul juara kategori lelaki Pertandingan Karaoke Tertutup Pulau Bruit sempena sambutan Hari Malaysia 2026 di Pentas Kampung