Empat projek utama Puncak Borneo ditender, tunggu pelaksanaan

Facebook
WhatsApp
Datuk Willie Mongin k ketika berucap pada Majlis Santai Bersama Media semalam.

PADAWAN: Empat projek pembangunan utama di kawasan Puncak Borneo kini telah melalui proses tender, namun masih menunggu pelaksanaan bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati penduduk setempat.

Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin berkata, projek berkenaan melibatkan Projek Bekalan Air Puncak Borneo Fasa Dua, pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puncak Borneo, Jalan Biah-Jaber serta perluasan Skim Penempatan Semula Bengoh (BRS).

Beliau berkata, pelaksanaan projek terbabit sebelum ini berdepan pelbagai kekangan, termasuk perubahan reka bentuk, proses birokrasi serta isu pampasan tanah.

“Empat projek ini sudah ditender, tetapi masih menunggu pelaksanaan. Saya harap ia dapat dilaksanakan secepat mungkin,” katanya ketika berucap pada Majlis Santai Bersama Media di sini, malam tadi.

Menurut Willie, Projek Bekalan Air Puncak Borneo Fasa Dua merupakan antara projek yang diberi perhatian kerana bakal memberi manfaat kepada 18 kampung di kawasan berkenaan.

Katanya, projek itu sebelum ini pernah dibatalkan sebelum beliau mengemukakan rayuan untuk mengembalikannya dalam senarai projek kerajaan pada 2019.

Bagaimanapun, katanya, pelaksanaannya mengambil masa berikutan bantahan sebahagian penduduk terhadap laluan sistem paip, selain keperluan mengubah reka bentuk susulan pembinaan Jalan Padawan.

“Baru-baru ini projek itu sudah ditender dan saya benar-benar berharap tidak berlaku kelewatan lagi.

“Daripada 18 kampung yang terlibat, saya difahamkan tiga daripadanya menghadapi masalah bekalan air yang sangat teruk sehingga bekalan terputus ketika musim kemarau baru-baru ini,” katanya.

Sementara itu, Willie berkata pembinaan SMK Puncak Borneo bernilai RM85 juta juga telah mendapat kelulusan kerajaan Persekutuan, manakala proses penentuan tapak telah selesai.

“Tanah sudah dikenal pasti, tetapi pelaksanaannya masih belum bermula. Walaupun peruntukan sudah diluluskan, kita masih menunggu dan bertanya bila pelaksanaan akan dimulakan,” katanya.

Bagi Jalan Biah-Jaber pula, beliau berkata projek itu turut mendapat kelulusan kerajaan Persekutuan dan kini sudah ditender selepas isu tuntutan pampasan oleh pemilik tanah berjaya diselesaikan.

Katanya, isu pampasan timbul kerana laluan asal jalan berkenaan sebelum ini dibina menggunakan peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP), menyebabkan pemilik tanah pada ketika itu memberikan laluan tanpa tuntutan pampasan.

“Selepas saya mendapat kelulusan daripada kerajaan Persekutuan dan perkara itu disebut di Parlimen, ramai pemilik tanah mula memohon pampasan.

“Peruntukan asal tidak mengambil kira pampasan, jadi mereka perlu mencari peruntukan tambahan untuk menyelesaikan perkara itu,” katanya.

Dalam pada itu, Willie berkata projek perluasan Skim Penempatan Semula Bengoh bernilai RM45 juta juga telah ditender dan kini menunggu untuk dilaksanakan.

Beliau berharap kesemua projek berkenaan dapat direalisasikan segera kerana ia penting dalam menangani keperluan asas serta meningkatkan kemudahan pendidikan dan infrastruktur penduduk Puncak Borneo.

Katanya, pembangunan di kawasan itu masih berdepan cabaran, khususnya berkaitan bekalan air, jalan raya, telekomunikasi, pendidikan dan jurang pembangunan antara kawasan luar bandar dengan bandar.

“Pembangunan tidak akan pernah cukup. Kita masih mempunyai masalah dan cabaran dengan air, jalan raya, telekomunikasi, pendidikan dan infrastruktur.

“Ini bukan sekadar isu politik, tetapi ia adalah cerita mengenai kehidupan manusia,” katanya.

Beliau berkata, walaupun sebagai wakil rakyat peranannya adalah memastikan projek mendapat kelulusan, pelaksanaan akhirnya bergantung kepada agensi pelaksana.

“Sebagai wakil rakyat, kita hanya mendapat projek dan memastikan projek itu diluluskan. Selepas itu, ia sebenarnya bergantung kepada agensi pelaksana untuk melaksanakannya,” katanya.

Samirul, Rohani juara karaoke Pulau Bruit

PULAU BRUIT: Samirul muncul juara kategori lelaki Pertandingan Karaoke Tertutup Pulau Bruit sempena sambutan Hari Malaysia 2026 di Pentas Kampung