SARATOK: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik, menyifatkan kunjungan ke kediaman Jeti Kumpai Endawie di Letong Sawa, semalam sebagai kesempatan bermakna untuk mengeratkan hubungan silaturahim selain mengenang sejarah politik Sarawak.
Menurutnya, kunjungan bersama rakan-rakan itu bukan sahaja menjadi ruang untuk bertemu dan beramah mesra, malah memberi peluang mengenang jasa serta sumbangan tokoh politik Iban Sarawak, khususnya mendiang Datuk Amar Dunstan Endawie yang pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri Sarawak.
“Pertemuan ini kita jadikan kesempatan untuk mengeratkan lagi hubungan serta memperkukuh semangat persahabatan dalam kalangan mereka yang jarang berkesempatan bertemu dan berborak bersama,” katanya.
Friday berkata, sejarah dan pengalaman kepimpinan terdahulu wajar dikenang serta dijadikan teladan dalam usaha membentuk hala tuju politik dan pembangunan masyarakat di Krian.

Beliau berkata, pengalaman tokoh terdahulu khususnya dalam sejarah politik Sarawak dan Saratok mempunyai nilai tersendiri yang boleh dijadikan pedoman oleh generasi kepimpinan masa kini.
Dalam kunjungan itu, beliau turut menerima borang keahlian Parti Demokratik Progresif (PDP) daripada Jeti Kumpai Endawie.
“Terima kasih kepada Jeti kerana sudi menerima kunjungan kami dan mengalu-alukan kehadiran semua yang datang,” katanya.
Turut hadir ialah Ketua Majlis Adat Istiadat Sarawak, Datu Dr Neilson Ilan Mersat; peguam Chambai Lindong; bekas Ahli Majlis Daerah Betong, Cooplay Nyipa; Morgan Jampi; Penghulu Josephine Entira serta beberapa ahli majlis dan tetamu lain.
Friday berkata, pertemuan seperti itu penting dalam memperkukuh jaringan hubungan masyarakat, di samping memberi ruang untuk berkongsi pandangan dan pengalaman demi kepentingan Sarawak serta kawasan Krian.
Oleh Adi Safarman



