LINGGA: Masyarakat di kawasan Tanjung Bijat diseru agar terus memberi sokongan kepada usaha kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam memastikan kesinambungan pembangunan serta kesejahteraan rakyat di kawasan berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang berkata, kestabilan pentadbiran penting bagi membolehkan pelbagai perancangan pembangunan dilaksanakan secara berterusan demi kepentingan masyarakat.
Menurut beliau, GPS merupakan sebuah gabungan politik yang stabil dan telah melaksanakan pelbagai agenda pembangunan di seluruh Sarawak.
“Kerajaan yang stabil penting untuk memastikan perancangan pembangunan dapat diteruskan dan manfaatnya sampai kepada rakyat, termasuk masyarakat di kawasan Tanjung Bijat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Randau Bukit Begunan yang berlangsung di Rumah Aji Lega, Sunga Ban, Tanjung Bijat, semalam.
Program Randau Bukit Begunan turut menjadi platform penting untuk memperkukuhkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat, di samping membuka ruang kepada penduduk menyampaikan pandangan serta mengemukakan keperluan pembangunan di kawasan masing-masing.

Dalam pada itu, Mong turut mengingatkan ketua-ketua kampung dan kepimpinan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) supaya memastikan Profil Kampung sentiasa dikemas kini.
Beliau berkata, mesyuarat JKKK juga perlu diadakan sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh enam bulan bagi memastikan urusan pentadbiran serta perancangan komuniti dapat dilaksanakan dengan lebih teratur.
Katanya, pengurusan maklumat dan pentadbiran komuniti yang baik amat penting bagi membantu kerajaan mengenal pasti keperluan sebenar penduduk.
“Apabila maklumat kampung sentiasa dikemas kini, pihak kerajaan akan lebih mudah mengenal pasti keperluan penduduk dan merancang penyaluran bantuan, peruntukan serta program pembangunan yang bersesuaian,” katanya.
Selain itu, Mong turut melawat tapak di bahagian belakang Rumah Panjang Sunga Ban yang dikenal pasti memerlukan kerja-kerja naik taraf.
Beliau memaklumkan keperluan berkenaan akan diberi perhatian untuk dilaksanakan menggunakan peruntukan pada tahun hadapan, tertakluk kepada perancangan serta kelulusan yang berkaitan.


MONG Dagang merasmikan gelanggang sepak takraw yang dibina menerusi peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) di Rumah Aji Lega, Sunga Ban, semalam. Foto ADUN Bukit Begunan
Pada program sama, Mong turut merasmikan gelanggang sepak takraw yang telah siap dibina menerusi peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP).
Beliau turut mengumumkan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM12,000 kepada JKKK Rumah Aji Lega, manakala Biro Wanita JKKK Rumah Aji Lega menerima peruntukan sebanyak RM4,000.
Peruntukan berkenaan diharap dapat menyokong pelaksanaan aktiviti serta memenuhi keperluan komuniti di rumah panjang tersebut, selain memperkukuhkan penglibatan masyarakat dalam pelbagai program kemasyarakatan.
Oleh Adi Safarman




