PULAU BRUIT: Pulau Bruit berpotensi dibangunkan sebagai pusat pengumpulan hasil laut dan lokasi pasar minggu yang mampu membuka lebih banyak peluang pendapatan kepada penduduk setempat.
Pengerusi pengelola Pertandingan Karaoke dan Penyampaian Sumbangan Asnaf Pulau Bruit sempena Hari Malaysia 2026, Raduan Serap, berkata, potensi berkenaan wajar dimanfaatkan bagi menggalakkan penglibatan penduduk dalam aktiviti ekonomi.
Program berkenaan merupakan anjuran Pengerusi Permodalan ASSAR Sdn Bhd yang juga bekas Ahli Parlimen Igan, Dato Sri Wahab Dolah.
Menurut Raduan, kawasan berkenaan dilihat sesuai dijadikan lokasi pasar minggu pada masa akan datang, sekali gus menyediakan ruang kepada penduduk untuk memasarkan hasil serta produk tempatan.

“Kita mahu menggalakkan penduduk Pulau Bruit turut terlibat dalam aktiviti ekonomi di kawasan ini, termasuk menjadikan tempat ini sebagai pusat pengumpulan hasil-hasil laut.
“Dengan siapnya jambatan nanti, kita yakin penduduk dari kawasan seperti Sarikei dan Sibu boleh datang ke sini untuk mendapatkan hasil laut,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program penyampaian sumbangan asnaf dan pertandingan karaoke sempena sambutan Hari Malaysia 2026 di Pulau Bruit, hari ini.
Raduan berkata, usaha membangunkan aktiviti ekonomi setempat diyakini dapat membantu meningkatkan pendapatan penduduk selain merancakkan lagi kegiatan ekonomi di Pulau Bruit.
Beliau berkata, program berkenaan turut menyaksikan penyampaian sumbangan bakul makanan kepada 485 penerima asnaf, khususnya penduduk di kawasan utara Pulau Bruit yang pernah menerima bantuan sebelum ini.
Katanya, program berkenaan turut dimeriahkan dengan persembahan tiga tetamu khas selain saringan pertandingan karaoke yang disertai kira-kira 63 peserta.

“Kita mahu melihat siapa yang paling sporting dan bersemangat. Pada masa sama, kita mahu penglibatan semua pihak untuk bersama-sama menyatupadukan masyarakat.
“Penduduk di sini juga dahagakan program seperti ini dan kita berharap program sebegini dapat mengeratkan hubungan antara penduduk serta mengekalkan keharmonian masyarakat,” ujarnya lagi.
Raduan berkata, program berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan sebarang usaha politik, sebaliknya bertujuan mengeratkan hubungan masyarakat selain memperkenalkan potensi Pulau Bruit kepada orang luar.
Beliau berkata, pembangunan infrastruktur termasuk jambatan yang bakal menghubungkan kawasan berkenaan dengan kawasan lain akan memberi manfaat besar kepada penduduk, khususnya dari segi akses kepada pasaran dan peluang ekonomi.
Oleh Tarani Lanting/Akun Giman




