Dua lelaki ditahan, 95 kenderaan diperiksa dalam Op Bersepadu Pencegahan Jenayah Bau

Facebook
WhatsApp
SEKITAR Operasi Bersepadu yang dijalankan oleh Ibupejabat Polis Daerah Bau di sekitar Bandar Bau, Jambusan, Siniawan dan Jalan Suba Buan, malam tadi.- Foto IPD Bau

BAU: Dua lelaki ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dalam Op Bersepadu Pencegahan Jenayah yang dijalankan Polis Daerah Bau, malam tadi.

Operasi yang berlangsung dari 8.00 malam hingga tengah malam itu dilaksanakan di sekitar Bandar Bau, Jambusan, Siniawan dan Jalan Suba Buan, dengan membabitkan seramai 33 pegawai dan anggota polis.

Dalam operasi berkenaan, sebanyak 95 kenderaan dan 127 individu diperiksa bagi memastikan pematuhan undang-undang selain membanteras kegiatan jenayah di kawasan terbabit.

RONDAAN… Anggota polis menjalankan rondaan dan pemantauan menerusi Operasi Bersepadu di sekitar Bau, malam tadi. – Foto IPD Bau

Polis turut mengeluarkan sembilan saman PDRM (K)257 sepanjang operasi berkenaan.

Menurut Polis Daerah Bau, operasi itu turut memberi tumpuan kepada rondaan dan pemeriksaan bagi mencegah kejadian jenayah serta kecurian kenderaan di sekitar daerah berkenaan.

“PDRM Daerah Bau akan terus mempergiatkan usaha pencegahan jenayah dan penguatkuasaan demi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara,” menurut kenyataan IPD Bau, hari ini.

Orang awam turut diminta menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan atau kejadian jenayah kepada pihak polis bagi membantu usaha pencegahan dan penguatkuasaan.