KUALA LUMPUR: Elaun Bantuan Mobiliti sekali bayar RM1,000 kepada pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang layak dijangka meningkatkan padanan antara pekerja dengan peluang pekerjaan, khususnya apabila kekosongan yang sesuai terletak di luar kawasan tempat tinggal mereka.
Penasihat Kanan Persekutuan Majikan (MEF) bagi Kerajaan, Media dan Penglibatan Antarabangsa Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata inisiatif itu mengambil kira kos perpindahan dan perjalanan bagi pekerja yang sanggup menerima pekerjaan yang jauh dari rumah.
“Daripada perspektif majikan, peningkatan bantuan mobiliti akan menyumbang kepada pasaran buruh yang lebih cekap membolehkan kekosongan jawatan dipadankan dengan pekerja yang sesuai di luar kawasan setempat.
“Ini amat relevan dalam sektor dan di wilayah yang majikan sukar mendapatkan pekerja yang mempunyai kemahiran dan pengalaman diperlukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, Syed Hussain berkata MEF menggalakkan PERKESO supaya menjelaskan dengan terperinci kriteria kelayakan, prosedur permohonan dan tempoh pembayaran kepada pekerja serta majikan.
Semalam, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan mengumumkan kerajaan akan menyediakan elaun itu kepada pencarum PERKESO yang mendapat pekerjaan baharu melebihi jarak 100 kilometer dari tempat kediaman.
Beliau berkata elaun itu akan berkuat kuasa pada 1 Oktober melalui penambahbaikan Skim Insurans Pekerjaan (SIP).
Mengenai penambahbaikan lebih menyeluruh terhadap SIP, Syed Hussain berkata peningkatan Elaun Bekerja Semula Awal daripada 25 peratus kepada 50 peratus daripada baki Elaun Mencari Pekerjaan yang belum dibayar akan memberikan sokongan tambahan kepada pekerja yang layak.
Beliau berkata peningkatan elaun latihan harian daripada RM10 kepada RM30, berserta kenaikan maksimum yuran latihan yang ditanggung daripada RM4,000 kepada RM7,000 akan terus memperkukuh SIP dalam membantu pekerja yang menganggur meningkatkan kemahiran serta beralih kepada pekerjaan baharu.
Syed Hussain berkata majikan juga boleh mendapat manfaat daripada perkhidmatan pekerjaan dan program sokongan pekerja, yang membantu mengurangkan tempoh mengisi kekosongan jawatan serta meningkatkan padanan calon yang sesuai dengan pekerjaan yang tersedia. – Bernama




