MUKAH: Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam sungai ketika menjalankan kerja di atas sebuah tongkang berhampiran Jambatan Igan, di sini, semalam.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba berkata mangsa, 33, disedari terjatuh oleh rakan sekerjanya sekitar 6.15 petang.
Beliau berkata kejadian itu disedari ketika rakan sekerja mangsa melihatnya dipercayai terjatuh ke dalam sungai sebelum memaklumkan perkara berkenaan kepada pengurus yang berada di lokasi.
“Pekerja di lokasi kemudian menjalankan pencarian awal menggunakan bot di sekitar kawasan mangsa dipercayai terjatuh, namun selepas lebih sejam, mangsa masih gagal ditemui,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, Pusat Kawalan Operasi (PKO) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 7.47 malam sebelum sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi.
“Pasukan bomba tiba di lokasi pada 8.48 malam, kira-kira 59 kilometer dari BBP Mukah, dan menjalankan pemantauan dari kawasan jambatan bersama pihak polis.
“Hasil perbincangan dengan pihak polis, operasi mencari dan menyelamat (SAR) akan dimulakan pada hari ini,” katanya.
Beliau berkata mangsa masih belum ditemui dan operasi SAR akan diteruskan bagi mengesan mangsa di sekitar lokasi kejadian.





