SIBU: Generasi muda Klan Tiang perlu tampil lebih aktif dan mengambil peluang untuk memainkan peranan dalam pembangunan dan masa depan Sarawak.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, golongan muda perlu diberi ruang untuk menyuarakan pandangan, membina jaringan dan meneroka peluang yang tersedia menerusi pelbagai inisiatif pembangunan negeri.
Menurutnya, Persatuan Klan Tiang juga boleh menjadi platform untuk membimbing generasi muda agar lebih bersedia menyumbang kepada pembangunan Sarawak.
“Saya berharap kita boleh mengadakan dialog bersama golongan muda Klan Tiang untuk membincangkan masa depan dan melihat bagaimana mereka boleh mengambil bahagian dan memainkan peranan dalam perancangan pembangunan Sarawak.
“Kita boleh mengadakan satu forum supaya generasi muda kita dapat bersama-sama membincangkan perkara ini,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Ulang Tahun Ke-15 Persatuan Klan Tiang Sibu, di sini, malam tadi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan itu berkata, golongan muda daripada klan berkenaan perlu diberi sokongan untuk meneroka peluang baharu dan membina masa depan mereka.
Katanya, Persatuan Klan Tiang tidak seharusnya sekadar menjadi wadah mengeratkan hubungan kekeluargaan, sebaliknya turut berperanan dalam membentuk generasi yang mampu menyumbang kepada masyarakat dan negeri.
Beliau mengingatkan ahli persatuan klan berkenaan supaya terus mengekalkan semangat perpaduan dan saling membantu walaupun jumlah mereka tidak besar.
“Kita mungkin tidak ramai, tetapi kita sangat rapat dan kita semuanya adalah satu keluarga. Sebab itu kita perlu menghargai, mengenali dan menyokong antara satu sama lain.
“Jika ada peluang perniagaan, kita sokong perniagaan keluarga sendiri dan jika ada ahli keluarga menghadapi masalah, kita bantu mereka,” jelasnya.
Tiang berkata, generasi terdahulu yang berhijrah dari China telah meletakkan asas kukuh sehingga keluarga mereka dapat bertapak dan membina kejayaan di Sarawak.
Justeru, ujarnya, generasi hari ini perlu meneruskan legasi berkenaan dengan menyesuaikan diri terhadap perubahan dan mengambil bahagian dalam pembangunan negeri.
Beliau berkata, Sarawak kini sedang bergerak ke arah ekonomi hijau dan pembangunan mampan, sekali gus membuka ruang baharu kepada generasi muda untuk terlibat dalam sektor-sektor yang mempunyai potensi masa depan.
“Minyak dan gas ialah sumber yang tidak boleh kita bergantung selama-lamanya. Sebab itu kita perlu melakukan transformasi dan membuat perancangan untuk generasi kita 50 hingga 100 tahun akan datang.
“Kita mahu generasi akan datang turut menikmati kekayaan yang dikumpulkan oleh generasi hari ini,” katanya.
Tiang turut menggesa rakyat Sarawak supaya menghargai kemajuan yang dinikmati ketika ini dan bersedia memikul tanggungjawab sebagai pemimpin masa depan negeri.
“Dalam keadaan kita menikmati kehidupan yang baik ini, kita perlu tahu bagaimana menghargainya dan pada masa sama bersedia menjadi pemimpin yang akan menerajui tanah bertuah ini pada masa hadapan,” katanya lagi.
Oleh Akun Giman




