PEKEMA sedia hadapi peralihan pengguna kepada EV

Facebook
WhatsApp
DATUK Mohamed Nazari Noordin ditemui pemberita selepas merasmikan Larian EVfy 2026 di MBKS, hari ini.

KUCHING: Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu (PEKEMA) melihat peralihan cita rasa pengguna daripada kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) kepada kenderaan elektrik (EV) sebagai antara cabaran utama yang perlu dihadapi industri automotif pada 2027.

Presiden PEKEMA, Datuk Mohamed Nazari Noordin berkata, perkembangan itu turut berlaku seiring kemunculan lebih banyak jenama baharu dari China dalam pasaran automotif negara.

Katanya, PEKEMA mengalu-alukan ahli persatuan untuk turut menceburi bidang pengedaran kenderaan EV selain meneruskan perniagaan sedia ada.

“Cabaran pada tahun 2027 ini akan menjadi lebih mencabar kerana kehadiran daripada jenama-jenama yang baharu datang daripada China dan juga peralihan daripada cita rasa pengguna daripada kereta yang menggunakan ICE kepada kereta EV.

“Jadi untuk pihak PEKEMA juga kita mengalu-alukan ahli-ahli kita untuk berkecimpung di dalam pengedaran kereta EV, selain daripada perniagaan yang sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Larian EVfy 2026 di MBKS, hari ini.

Menurut Nazari, jualan kenderaan yang dibawa masuk oleh ahli PEKEMA ketika ini masih berada pada tahap hampir sama setiap tahun, iaitu sekitar 45,000 hingga 47,000 unit.

Katanya, jumlah pengimportan juga berada dalam lingkungan sama, namun perubahan utama yang berlaku ialah persaingan daripada jenama sedia ada dan baharu serta peralihan pengguna kepada EV.

“Yang jadi perubahan adalah persaingan daripada jenama yang sedia ada dan juga jenama baharu dan juga peralihan kepada penggunaan EV,” katanya.

Sementara itu, Presiden PEKEMA Sarawak, Datuk Ismail Abg Saufi berkata, sambutan terhadap kenderaan EV di Sarawak masih belum menggalakkan berbanding Semenanjung Malaysia.

Katanya, antara perkara yang masih menjadi kebimbangan pengguna ialah tahap infrastruktur pengecasan, khususnya bagi perjalanan ke luar bandar.

“EV sambutan masih tak memberangsangkan seperti di Semenanjung kerana kebanyakan pembeli masih kurang percaya tentang infrastruktur.

“Yang masih kurang ialah stesen pengecasan dalam perjalanan kita pergi ke luar bandar kerana Rehat dan Rawat (R&R) kita belum belum banyak tersedia seperti yang ada di Semenanjung,” katanya.

Isu berkenaan turut menjadi perhatian kerajaan Sarawak yang merancang memperluaskan kemudahan pengecas EV secara berperingkat di lokasi strategik seluruh negeri. Setakat April 2026, sebanyak 153 pengecas EV dilaporkan sedang beroperasi di Sarawak, dengan kebanyakannya tertumpu di Kuching, Sri Aman, Sibu, Bintulu dan Miri. Perancangan turut meliputi pemasangan pengecas di sepanjang jajaran Lebuhraya Pan Borneo, Jalan Pesisir Pantai dan Rangkaian Jalan Raya Sarawak-Sabah (SSLR). 

Kerajaan Sarawak sebelum ini turut menetapkan sasaran 400 pengecas EV awam menjelang 2030, dengan peluasan rangkaian memberi tumpuan kepada kawasan bandar, separa bandar dan luar bandar. 

Di peringkat nasional pula, data Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menunjukkan jualan kenderaan elektrik dan hibrid (xEV) meningkat 52 peratus pada 2025, sekali gus menyumbang 8.5 peratus daripada jualan kenderaan baharu. Kerajaan menetapkan sasaran xEV mencapai 30 peratus bahagian pasaran menjelang 2030. 

Ismail berkata, peningkatan kemudahan pengecasan terutama di laluan antara bandar dan kawasan luar bandar penting untuk meningkatkan keyakinan pengguna terhadap EV.

Katanya, apabila infrastruktur berkenaan semakin tersedia dalam beberapa tahun akan datang, beliau yakin permintaan terhadap kenderaan EV di Sarawak turut meningkat.

Oleh Shikin Mahmud

Arsenal dibelasah Brighton, Spurs tewas lagi

LONDON, United Kingdom: Permulaan sempurna Arsenal dalam mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) berakhir selepas dibelasah 3-0 oleh Brighton pada