Wanita maut, anak cedera dalam kemalangan di Jejambat Simpang Mukah-Selangau

Facebook
WhatsApp
PASUKAN bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan di Jejambat Simpang Mukah-Selangau, petang tadi.

SELANGAU: Seorang wanita maut selepas tersepit dalam kenderaan utiliti sukan (SUV) Perodua Aruz dalam kemalangan di Jejambat Simpang Mukah-Selangau, petang tadi.

Dalam kejadian sekitar 5.00 petang itu, mangsa, 41, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas dikeluarkan oleh pasukan bomba.

Anak lelaki mangsa,19, yang turut berada dalam kenderaan berkenaan mengalami kecederaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian 5.01 petang.

Menurutnya, tujuh anggota bersama sebuah jentera Fire and Rescue Tender (FRT) dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi, didapati seorang mangsa wanita yang merupakan pemandu tersepit di dalam kenderaan, manakala mangsa lelaki telah dikeluarkan oleh orang awam dan dihantar ke hospital sebelum ketibaan pasukan bomba.

“Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan menyelamat,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Beliau berkata, mangsa wanita berjaya dikeluarkan sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) yang berada di lokasi.

Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi tamat sepenuhnya pada 5.40 petang selepas keadaan di lokasi disahkan selamat dan terkawal.

Oleh Akun Giman