MIRI: Sebuah rumah Panjang 10 pintu musnah dalam kebakaran di Kampung Long Jekitan, Ulu Baram, Marudi, di sini petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 2.50 petang.
Katanya, berdasarkan maklumat awal yang diterima, keseluruhan struktur rumah panjang berkenaan terbakar dalam kejadian itu.
“Kejadian itu telah dilaporkan kepada Balai Polis Marudi untuk tindakan lanjut.

“Bagaimanapun, lokasi kejadian agak jauh dan perjalanan ke kawasan berkenaan dianggarkan mengambil masa sehingga lapan jam melalui jalan balak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hasil perbincangan, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi akan bergerak ke lokasi kejadian esok pagi bagi mendapatkan maklumat lanjut dan menjalankan tindakan susulan.
Setakat ini, tiada maklumat mengenai mangsa dilaporkan.
Oleh Liong Chai Ling





