BETONG: Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Betong terus mempergiat pelaksanaan projek pembangunan di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi memastikan kemudahan yang disediakan dapat memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat setempat.
Menurut kenyataan media JKR, usaha itu dizahirkan menerusi pelaksanaan dua projek RTP melibatkan pembinaan baharu Dataran Kejat Rumah Panjang Gerik, Terusan Spaoh di bawah RTP DUN Saribas serta projek naik taraf Taska Permata KEMAS Saint Augustine di bawah RTP DUN Layar.
Di Terusan, Spaoh, satu sesi serah tapak projek siap telah diadakan bagi projek pembinaan baharu Dataran Kejat Rumah Panjang Gerik yang kini disediakan sebagai kemudahan lebih selesa, selamat dan kondusif untuk kegunaan penduduk.
Kemudahan berkenaan bukan sahaja memberi ruang yang lebih baik kepada komuniti setempat, malah boleh dimanfaatkan untuk pelbagai aktiviti kemasyarakatan, program komuniti serta kegiatan penduduk di Rumah Panjang Gerik.
Sesi penyerahan tersebut turut dihadiri pegawai JKR Bahagian Betong, wakil Pusat Khidmat DUN Saribas serta wakil pihak kontraktor.
Sementara itu, JKR Bahagian Betong turut mengadakan sesi serah tapak projek mula bagi kerja-kerja menaik taraf Taska Permata KEMAS Saint Augustine Betong di bawah RTP DUN Layar.
Dalam sesi berkenaan, pihak kontraktor diberikan penerangan dan taklimat berkaitan skop kerja, keperluan teknikal serta perkara-perkara penting yang perlu diberi perhatian sebelum kerja di tapak dimulakan.
Taklimat itu bertujuan memastikan kontraktor memahami sepenuhnya keperluan pelaksanaan projek supaya kerja dapat dilaksanakan mengikut spesifikasi, standard kualiti dan tempoh yang telah ditetapkan.
Pelaksanaan kedua-dua projek berkenaan memperlihatkan komitmen berterusan JKR Sarawak dalam memastikan projek RTP dilaksanakan secara teratur, mengikut keperluan serta memberi nilai tambah kepada kemudahan awam dan kesejahteraan masyarakat di kawasan luar bandar.
Turut hadir pada sesi tersebut ialah pegawai JKR Bahagian Betong, wakil Pusat Khidmat DUN Layar, wakil KEMAS serta wakil pihak kontraktor.
Oleh Adi Safarman




