LIMBANG: Pesta Limbang 2026 dilihat mampu memperkukuh kedudukan Limbang sebagai pusat pelancongan, perdagangan dan pelaburan di utara Sarawak berikutan kedudukannya yang strategik dalam kawasan BIMP-EAGA.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata kedudukan Limbang yang bersempadan dengan Brunei Darussalam, Indonesia, Sabah dan Labuan memberi kelebihan kepada kawasan itu untuk mengembangkan aktiviti ekonomi serta hubungan rentas sempadan.
Katanya, Limbang turut mempunyai potensi besar untuk menarik pelancong serta memperluas perdagangan dan pelaburan menerusi kedudukannya dalam Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA).
“Ianya ialah satu platform untuk kita mempromosikan Limbang ini sebagai salah satu daripada pusat tarikan pelancong. Ianya adalah satu daripada pusat untuk mengembangkan perdagangan, pelaburan.
“Kita melihat bahawa kedudukan Limbang ini begitu strategik sekali. Kita bersempadan dengan negara Brunei Darussalam. Kita juga bersempadan dengan jiran kita, Indonesia. Lebih-lebih lagi Kalimantan Utara, Kalimantan Timur, di mana terletak Nusantara, ibu negara baharu Indonesia.

“Kita jiran dengan Sabah, Labuan dan betul-betul kedudukan kita begitu strategik kalau kita lihat dari kawasan yang lebih luas, kawasan BIMP-EAGA,” katanya ketika mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, pada Majlis Perasmian Pesta Limbang 2026 di Dataran Tebingan Sungai Limbang, Sabtu lalu.
Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Sarawak Kedua berkata, pesta berkenaan turut menjadi platform untuk mempromosikan kebudayaan, makanan dan produk tempatan, selain membuka ruang kepada pemain industri serta usahawan tempatan memperluas jaringan perniagaan dan meneroka pasaran baharu.
Menurutnya, potensi Limbang dan Lawas akan terus dibangunkan secara terancang menerusi penyediaan pelan tempatan bagi mengenal pasti serta mengoptimumkan sumber dan kedudukan strategik kedua-dua kawasan berkenaan.
Katanya, perancangan itu turut mengambil kira pelaksanaan projek infrastruktur utama seperti Sarawak-Sabah Link Road (SSLR), Lebuhraya Pesisir Utara (NCH) dan Lebuhraya Trans-Borneo, selain usaha meningkatkan kemudahan bekalan elektrik, air serta sistem telekomunikasi.
“Perancangan pembangunan bandar yang lebih tersusun penting bagi memastikan potensi yang dimiliki Limbang dan Lawas dapat dibangunkan secara optimum,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, perunding telah dilantik bagi menyediakan pelan tempatan untuk Limbang dan Lawas bersama Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA).
Katanya, pelan berkenaan akan menjadi garis panduan untuk mengukuhkan kerjasama dan hubungan saling melengkapi berdasarkan kekuatan yang ada di Limbang dan Lawas dengan Brunei Darussalam, Kalimantan Indonesia, Sabah, Labuan serta kawasan lain, khususnya di bawah BIMP-EAGA.
Oleh Adeng Edrus





