KRIAN: Dua lagi projek berkaitan bekalan elektrik dan pendawaian di rumah panjang dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian kini siap dan diserahkan kepada penduduk, sekali gus memberi kelegaan kepada komuniti yang sebelum ini berdepan kebimbangan berkaitan kemudahan elektrik.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik berkata, dua projek berkenaan melibatkan projek penyambungan bekalan elektrik dan pendawaian di Rumah Japar, Tinting Ringka, Jalan Engkudu, Saratok serta projek pendawaian semula di Rumah Andrew Aji, Kedoh, Sebelak Roban.
Menurut beliau, kedua-dua projek tersebut dilaksanakan menggunakan peruntukan Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) bagi kawasan DUN Krian dan diselia oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).
Beliau berkata, siapnya kedua-dua projek itu bukan sahaja meningkatkan aspek keselamatan dan keselesaan penduduk, malah menyelesaikan kebimbangan yang sekian lama dirasai penghuni kedua-dua rumah panjang berkenaan.

“Syukur, dua lagi tapak projek telah siap dan diserahkan daripada pihak kontraktor kepada penduduk rumah panjang.
“Projek seperti ini amat penting kerana kemudahan elektrik yang baik dan selamat merupakan keperluan asas dalam kehidupan seharian masyarakat,” katanya.
Menurutnya, pelaksanaan projek berkenaan memperlihatkan usaha berterusan untuk memastikan keperluan asas penduduk di kawasan luar bandar terus diberi perhatian, khususnya melibatkan rumah panjang dan komuniti yang memerlukan penambahbaikan kemudahan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam memastikan kedua-dua projek dapat disiapkan dengan baik, termasuk BDDA, JKR serta pihak pentadbiran daerah.
Turut hadir wakil JKR Betong, wakil Pegawai Daerah Saratok dan James Jimbun yang mewakili Pusat Khidmat DUN N.39 Krian.
Oleh Adi Safarman




