SELANGAU: Enam individu termasuk dua wanita ditahan kerana disyaki terlibat dengan kesalahan dadah dalam Op Bersepadu Pencegahan Jenayah di sebuah pusat hiburan di pekan Selangau, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata, kesemua suspek warga tempatan berusia antara 30 hingga 41 tahun ditahan menerusi pemeriksaan mengejut dalam operasi yang bermula 8.30 malam semalam hingga 3.00 pagi tadi.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut terhadap suspek menemukan satu keratan tiub straw plastik dan satu paket plastik lutsinar mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine (syabu), dengan anggaran berat kasar 1.65 gram.
“Susulan tangkapan itu, satu kertas siasatan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan enam kertas siasatan di bawah Seksyen 15(1)(a) akta sama telah dibuka untuk tindakan dan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, operasi yang disertai 32 pegawai dan anggota dari pelbagai cawangan itu turut menyaksikan dua lelaki tempatan berusia 20 dan 21 tahun ditahan di simpang tiga Jalan SK Sungai Bayan, Mukah kerana disyaki menjalankan perniagaan barang lusuh tanpa lesen yang sah.


SEKATAN JALAN RAYA… Seramai 140 individu termasuk tiga warga asing diperiksa, manakala 125 kenderaan diperiksa dan 21 keping saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas.
Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Peniaga Sekendhend 1946 (Akta 189), dengan polis turut merampas sebuah van, sembilan guni putih mengandungi tin aluminium, alat penimbang dan pelbagai jenis besi buruk.
“Sepanjang operasi, seramai 140 individu termasuk tiga warga asing diperiksa, manakala 125 kenderaan turut diperiksa. Sebanyak 21 keping saman turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas,” katanya.
Muhamad Rizal berkata, operasi itu turut melibatkan Sekatan Jalan Raya (SJR), Rondaan Cegah Jenayah, Pemeriksaan Mengejut (Snap Check) serta pemeriksaan di pusat hiburan di sekitar bandar Mukah, pekan Selangau, Jalan Pan Borneo Sibu-Bintulu dan Jalan Mukah-Selangau.
Katanya, semua suspek yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah untuk tindakan dan siasatan lanjut.
Beliau berkata, IPD Mukah akan terus mempergiatkan operasi pencegahan jenayah secara berterusan bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara serta membanteras kegiatan yang menyalahi undang-undang di daerah itu.
Oleh Akun Giman




