KUCHING: Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri hendaklah sama-sama mewujudkan dan mentadbir dalam suasana harmonis berlandaskan Perlembagaan.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, apa yang penting harus ada persefahaman antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak dalam konteks penubuhan Malaysia yang terdiri daripada Wilayah Semenanjung, Wilayah Sarawak dan Wilayah Sabah.
“Sebagai sebahagian daripada negara yang berlandaskan konsep Persekutuan, kita harus akur bahawa negeri ini ditadbir mengikut Undang-Undang Persekutuan dan Undang-Undang negeri.
“Ada kuasa di bawah Persekutuan dan ada juga kuasa di bawah Negeri, di samping kuasa-kuasa di bawah Senarai Bersama dan ia sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan mengikut semangat Perjanjian Malaysia 1963.
“Selepas 58 tahun, apa yang seharusnya berada pada bidang kuasa negeri hendaklah dikembalikan kepada negeri jika ada mana-mana hak yang sudah terhakis sama ada secara sengaja atau tidak sengaja,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan Dan Kibar Jalur Gemilang 2021 Peringkat Negeri Sarawak di Atrium Dewan Undangan Negeri (DUN), semalam.
Abang Johari berkata, Kerajaan Persekutuan yang ada sekarang telah menubuhkan Kementerian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak dan saya percaya ini adalah platform yang baik untuk melibatkan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan dalam perundingan dalam usaha mencari penyelesaian.
Jelasnya, setakat ini Sarawak sudah mencapai sedikit kemajuan untuk mengembalikan haknya dan mendapat pulangan hasil yang lebih adil kepada negeri ini dan rakyatnya.
“Pertamanya, sekarang Sarawak mendapat pulangan yang lebih daripada hasil minyak dan gasnya dengan mengenakan Cukai Jualan ke atas produk minyak dan gas yang keluar dari Bumi Sarawak.
“Keduanya, melalui Perjanjian Penyelesaian Secara Komersil atau CSA yang dimeterai dengan PETRONAS (Petroliam Nasional Berhad), Sarawak sekarang mempunyai hak ekuiti dalam Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) yang dianugerah oleh PETRONAS.
“Ketiganya, Sarawak mempunyai hak untuk menganugerahkan konsesi penerokaan bagi medan minyak di daratan seperti di Miri dan Marudi berdasarkan Ordinan Perlombongan Minyak 1958,” katanya.
Tambahnya, Malaysia dibentuk berasaskan perpaduan dan semangat saling hormat menghormati antara pelbagai kaum di negara ini yang mana semua rakyat di Semenanjung, Sabah atau Sarawak semua menyanyikan Lagu Kebangsaan yang sama iaitu ‘Negaraku’.
“Kita juga mengibarkan Bendera Kebangsaan yang sama, iaitu Jalur Gemilang. Ini adalah lambang kedaulatan negara yang harus dihormati dan memberi rasa kemegahan kepada seluruh rakyat Malaysia.
“Malaysia adalah negara kita. Rakyat Malaysia yang bukannya berasal dari Malaysia seperti kaum India dan Cina yang sudah tinggal beberapa generasi di negara ini pun menganggap Malaysia sebagai tanah tumpahnya darah mereka, bukannya India atau China.
“Paling-paling pun mereka sekali sekala berkunjung ke India atau China untuk melancong atau mengunjungi sahabat handai di sana, tetapi mereka tetap akan kembali ke Malaysia kerana Malaysia adalah negara asal mereka,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut mengharapkan agar semua mengibarkan Bendera Kebangsaan baik di rumah atau di bangunan pejabat atau bangunan kedai sebagai simbol patriotisme terhadap membina Malaysia yang lebih cemerlang.
“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pihak khususnya Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak yang bertungkus lumus membuat segala perancangan dan persediaan acara pada hari ini (semalam) serta program bagi mengisi Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang pada tahun ini,” jelasnya.
Oleh JEAKQLEYN YACHO