MIRI: Berkulit kasar dan berbulu halus, serta mempunyai bentuk yang seakan-akan nangka, tarap merupakan antara buah-buahan tempatan yang digemari ramai, terutama apabila musimnya tiba sekitar pertengahan tahun.
Buah tropika eksotik yang berasal dari Borneo itu mempunyai isi berwarna putih susu, lembut, berjus serta rasa manis dan berkrim, selain mengeluarkan aroma tersendiri apabila masak.
Tarap banyak didapati mulai Julai dan musimnya dijangka berlangsung kira-kira dua bulan, sebelum berakhir pada awal September.
Tinjauan Utusan Sarawak di beberapa tamu di sini mendapati buah berkenaan dijual pada harga antara RM1 hingga RM15 sebiji, bergantung kepada saiz serta keadaan buah sama ada masih mentah atau sudah masak.
Musim tarap biasanya berlaku sekali setahun, menyebabkan kemunculannya di pasaran sentiasa dinanti-nantikan oleh penggemar buah-buahan tempatan.
Selain isinya yang enak dimakan segar, biji tarap juga boleh direbus atau disangai dan dikatakan mempunyai rasa seakan-akan kacang.
Oleh Liong Chai Ling




