Kapal tenggelam di Laut Jawa: Tiga lagi mayat ditemukan  

Facebook
WhatsApp
GAMBAR edaran yang dirakam pada 17 September 2026 dan dikeluarkan pada 18 September 2026 oleh Tentera Laut Indonesia menunjukkan kapal penumpang Virgo Transport 8 yang karam di perairan Laut Jawa, dilihat dari sebuah kapal Tentera Laut Indonesia. Foto AFP

JAKARTA: Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) gabungan menemukan tiga lagi mayat dalam sebuah kapal yang terbalik dan tenggelam di Laut Jawa, menjadikan angka kematian sembilan orang pada hari keenam operasi pencarian, menurut Tentera Laut Indonesia, lapor Xinhua.

GAMBAR edaran yang dirakam pada 17 September 2026 dan dikeluarkan pada 18 September 2026 oleh Tentera Laut Indonesia menunjukkan anggota tentera laut mengemudi bot mereka tepat di atas kapal penumpang Virgo Transport 8 yang karam di perairan Laut Jawa. Foto AFP

Jurucakap Tentera Laut Indonesia Laksamana Pertama Tunggul berkata penyelam tentera laut memasuki kapal yang karam itu dan menemukan mayat dua lelaki serta seorang wanita.

Penyelam turut menemukan 210 barangan dari dalam dan sekitar bangkai kapal itu yang akan diserahkan kepada Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Indonesia untuk siasatan, kata Komander Pangkalan Tentera Laut Indonesia di Banjarmasin Galih Nurna Putra.

ANGGOTA pasukan memakai peralatan perlindungan diri lengkap membawa salah satu daripada tiga beg mayat yang mengandungi mangsa nahas kapal Virgo Transport 8 ketika tiba di Pelabuhan Trisakti, Banjarmasin, Kalimantan Selatan, Indonesia pada 18 September 2026. Foto AFP

Virgo Transport 8 membawa 243 penumpang dari Surabaya di wilayah Jawa Timur menuju ke Banjarmasin apabila kapal itu terbalik akibat cuaca buruk pada awal Ahad.

Menurut data rasmi terkini, 108 orang berjaya diselamatkan, sembilan disahkan maut manakala 126 lagi masih hilang.

– Bernama