Eksklusif: Rock dan ketenangan, dua sisi dalam satu irama

Facebook
WhatsApp
VOKALIS NAKEDBURN, Matt Guarrasi (tengah), bersama anggota kumpulan. Foto NAKEDBURN

KUCHING: Ada sesuatu yang menarik tentang muzik rock. Gitar yang berat, dentuman dram dan vokal yang bertenaga mungkin terasa terlalu riuh bagi sesetengah orang, tetapi bagi pendengarnya, bunyi sebegitu kadangkala membawa ketenangan yang sukar diterangkan.

Bagi penulis, muzik sentiasa menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian, termasuk ketika memandu, melakukan kerja-kerja rumah atau sekadar mencari ruang untuk berhenti seketika daripada kesibukan.

Walaupun turut mendengar pelbagai genre, muzik rock mempunyai tempat tersendiri.

Mungkin kerana sejak kecil, muzik sudah menjadi ruang untuk penulis mencari sedikit jarak daripada hiruk-pikuk kehidupan dan memberi diri sendiri kesempatan untuk bernafas.

Hubungan dengan muzik rock bermula sejak usia sekitar 11 dan 12 tahun menerusi kumpulan Paramore dan Linkin Park, selain lagu-lagu pop punk dan rock yang mengisi senarai pendengaran ketika itu.

Selera muzik kemudiannya berubah, termasuk melalui fasa K-pop, namun muzik rock tidak pernah benar-benar hilang. Cuma, belum ada kumpulan yang benar-benar menepati cita rasa penulis.

Sehinggalah sekitar 2022 hingga 2023, muzik rock menemukan jalannya kembali kepada penulis menerusi Måneskin, kumpulan rock dari Itali, dan kemudiannya Bad Omens, dari Amerika Syarikat. 

Penulis berkesempatan menyaksikan persembahan Måneskin menerusi jelajah RUSH! World Tour di Singapura pada 2023, sementara penemuan Bad Omens pula membuka ruang untuk meneroka lebih jauh dunia rock alternatif, post-hardcore dan metalcore.

PENULIS menyaksikan persembahan Måneskin menerusi jelajah RUSH! World Tour di Singapura pada 2023. Foto Adele Rissa

Bermula dengan album Bad Omens, “The Death of Peace of Mind”, rasa ingin tahu itu berkembang kepada penemuan lebih banyak lagu dan kumpulan, termasuk Sleep Theory, Rain City Drive, Catch Your Breath, Nerve, Memphis May Fire, Thousand Below dan Wind Walkers.

Bagi penulis, lagu-lagu Bad Omens boleh sahaja menjadi bunyi latar ketika memandu. Namun, apabila “The Death of Peace of Mind” dimainkan, lagu itu kadangkala terasa lebih daripada sekadar bunyi latar.

Mungkin di situlah letaknya keanehan muzik.

Lagu yang paling kuat bunyinya kadangkala mampu mencipta ruang yang paling tenang dalam diri seseorang.

Persoalannya, mengapa muzik yang begitu kuat dan emosional boleh memberikan rasa damai kepada sesetengah pendengar?

Persoalan itu turut membawa penulis kepada NAKEDBURN, kumpulan rock dari Toronto, Kanada, yang ditemui sekitar penghujung 2025 ketika penulis semakin meneroka muzik rock alternatif, post-hardcore dan metalcore. 

Dalam usaha memahami bagaimana muzik boleh menjadi ruang untuk memproses emosi dan menemani seseorang ketika melalui saat-saat sukar, penulis mendapatkan pandangan daripada vokalisnya, Matt Guarrasi.

Menurut Guarrasi, proses menghasilkan muzik bukan sekadar tentang mencipta lagu, sebaliknya menjadi satu bentuk katarsis bagi setiap anggota kumpulan, sama ada melalui instrumen mahupun lirik yang merakam emosi, perasaan dan pengalaman yang dilalui.

“Proses menghasilkan muzik sentiasa menjadi satu bentuk katarsis untuk kami semua. Sama ada melalui instrumen atau lirik, setiap satunya membawa emosi dan perasaan yang kami rasakan pada ketika itu, atau menjadi satu kisah yang ingin kami rakamkan.

“Menulis sudah menjadi sebahagian daripada hidup saya selama lebih 10 tahun dan ia menjadi salah satu cara untuk saya memproses emosi serta melalui cabaran dalam kehidupan,” katanya.

Namun, perjalanan sesebuah lagu tidak berakhir apabila ia selesai ditulis.

Apabila karya itu sampai kepada pendengar, pengalaman yang asalnya lahir daripada kehidupan seorang pemuzik boleh menemukan makna baharu dalam kehidupan orang lain.

Bagi NAKEDBURN, perkara yang penting adalah memastikan pendengar mengetahui bahawa mereka tidak bersendirian ketika berdepan pengalaman sukar, termasuk perpisahan, kehilangan atau perasaan seolah-olah terperangkap dalam kehidupan.

“Apabila orang mendengar NAKEDBURN, saya sentiasa mahu mereka tahu bahawa mereka tidak pernah bersendirian, sama ada ketika berasa terperangkap dalam dunia, melalui perpisahan atau kehilangan yang dipendam.

“Kami mempunyai lagu dan lirik tentang semua itu. Apa yang kami mahukan sebagai sebuah band adalah untuk mengetahui bahawa muzik kami ada untuk mereka ketika mereka memerlukan sokongan,” katanya.

Pengalaman NAKEDBURN itu memperlihatkan satu sisi muzik yang mungkin mudah terlepas pandang.

Sebuah lagu boleh lahir daripada pengalaman yang sangat peribadi, tetapi apabila didengarkan oleh orang lain, ia boleh menemukan makna yang berbeza dalam kehidupan mereka.

KUMPULAN rock Bad Omens. Foto Facebook Bad Omens

Bagi pemuzik, ia mungkin menjadi ruang untuk meluahkan sesuatu yang tidak mampu diucapkan.

Bagi pendengar pula, ia mungkin sekadar lagu yang menemani perjalanan pulang, dimainkan berulang kali ketika fikiran terlalu penuh atau menjadi teman ketika dunia terasa terlalu riuh.

Dalam saat-saat yang sukar, muzik mungkin tidak menyelesaikan segala-galanya. Namun, ia boleh menjadi sesuatu yang menemani seseorang melaluinya.

Kadangkala, ia hanya menjadi teman.

Dan mungkin itu sudah cukup untuk memahami mengapa seseorang boleh mencari ketenangan dalam bunyi gitar yang berat, dentuman dram dan vokal scream.

Kerana kita tidak semestinya mencari kesunyian.

Kadangkala, kita cuma mencari sebuah ruang untuk berhenti seketika daripada dunia yang terlalu bising.

Dan bagi sesetengah daripada kita, ruang itu mungkin ditemukan dalam bunyi yang paling kuat.

Bagi penulis, perjalanan mengenali muzik rock juga perlahan-lahan membuka pandangan kepada dunia yang lebih luas, termasuk festival seperti Sonic Temple, Inkcarceration dan Louder Than Life.

Festival seperti itu mula menjadi tidak asing bagi penulis selepas mengenali seseorang di Ohio, Amerika Syarikat, yang pernah bekerja sebagai pelayan bar di festival berkenaan.

Dari Malaysia, semuanya masih terasa jauh.

Namun, semakin banyak muzik ditemui, semakin dekat pula dunia itu terasa, dan mungkin suatu hari nanti, penulis berpeluang merasai sendiri suasana festival yang selama ini hanya dikenali melalui skrin dan lagu-lagu yang menemani perjalanan.

Oleh Adele Rissa

Lady Gaga dedah nama anak sulungnya

LOS ANGELES: Penyanyi terkenal Lady Gaga dan tunangnya, Michael Polansky, menamakan anak perempuan pertama mereka Rose Bean Polansky, menurut laporan

Maddox gugur nama Pitt secara sah

LOS ANGELES: Anak sulung Angelina Jolie dan Brad Pitt, Maddox, 25, secara sah menggugurkan nama Pitt daripada nama keluarganya. Mahkamah