Bateri penggelek jalan bernilai RM600 dicuri di tapak projek Bau

Facebook
WhatsApp
BATERI penggelek jalan yang dilaporkan hilang dipercayai dicuri di tapak projek pembinaan jalan di Jalan Banan, Suba Bandar, Bau.

BAU: Sebuah bateri penggelek jalan bernilai sekitar RM600 dilaporkan hilang dipercayai dicuri di sebuah tapak projek pembinaan jalan di Jalan Banan, Suba Bandar, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Bau, Superintenden Mohd Haide A Rahman berkata, laporan berhubung kejadian itu dibuat oleh operator mesin, Paul Richer Anak Libing, 26, pada 10.26 pagi semalam.

Beliau berkata, kejadian dipercayai berlaku antara 5.00 petang pada 17 September hingga 8.00 pagi semalam selepas pengadu mendapati bateri yang dipasang pada sebuah mesin penggelek jalan bernombor siri STEM 510 telah hilang.

DICURI… Bateri sebuah mesin penggelek jalan bernilai sekitar RM600 yang dilaporkan hilang dari tapak projek pembinaan jalan di Jalan Banan, Suba Bandar, Bau.

“Penggelek jalan berkenaan adalah milik Syarikat COC Wonder dan telah ditinggalkan di tapak projek selepas pengadu selesai bekerja sekitar 5.00 petang pada 17 September.

“Mesin tersebut berada dalam keadaan berkunci ketika ditinggalkan, namun penutup baterinya hanya dikunci menggunakan klip,” katanya, hari ini.

Haide berkata, tapak kejadian merupakan kawasan terbuka dan tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV), namun seorang pengawal keselamatan ditugaskan untuk memantau jentera dan harta syarikat pada waktu malam.

Katanya, pengawal mula bertugas 7.00 malam pada 17 September dan melakukan rondaan meliputi kawasan antara tiga hingga lima kilometer.

“Rondaan terakhir berhampiran penggelek jalan berkenaan dilakukan sekitar 2.00 pagi, dengan gambar rondaan dihantar ke kumpulan WhatsApp syarikat,” katanya.

Beliau berkata, terdapat 10 jentera berat yang perlu dipantau oleh pengawal keselamatan dan kedudukannya berselerak di sepanjang tapak projek.

Tiada saksi mata dilaporkan melihat kejadian tersebut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379A(2) Kanun Keseksaan.

Polis telah merakam percakapan pengadu dan pengawal keselamatan, mengambil gambar tempat kejadian serta menyediakan rajah kasar, manakala arahan detektif telah dikeluarkan bagi mengesan suspek dan mendapatkan semula barang kes.