KUCHING: Lebih 30 pemilik apartmen mendapatkan bantuan Pertubuhan Pengguna Sarawak (PPS) selepas mendakwa unit kediaman mereka masih mempunyai kerja yang belum disiapkan, kemudahan tidak lengkap dan beberapa isu berkaitan reka bentuk selepas kunci diserahkan.
Presiden PPS, Wynson Ong Teck Ping berkata, aduan pertama berkaitan projek sama diterima pihaknya pada 13 Julai lalu sebelum persatuan membantu menyampaikan masalah berkenaan kepada pihak pemaju.
Katanya, hasil komunikasi itu, beberapa isu yang dibangkitkan pemilik akhirnya mendapat tindakan dan pembaikan.

Bagaimanapun, PPS sekali lagi menerima aduan pada 4 September lalu apabila lebih 30 pemilik apartmen melantik seorang wakil untuk membawa masalah mereka kepada persatuan dan memohon bantuan bagi berkomunikasi dengan pihak pemaju.
Menurutnya, antara perkara yang dibangkitkan pemilik termasuk penghawa dingin dan pemanas air yang dijanjikan masih belum dipasang, kabinet kaunter sinki yang belum siap, tandas di sesetengah unit yang masih belum dipasang, kerja lantai yang belum sempurna serta keretakan pada dinding.
“Pembeli rumah bukan membeli barangan bernilai beberapa ratus atau beberapa ribu ringgit. Mereka membeli rumah yang mungkin perlu dibayar selama 20 atau 30 tahun.
“Apabila kunci sudah diserahkan, adalah munasabah untuk pembeli mengharapkan rumah dan kemudahan yang dibeli telah disiapkan mengikut spesifikasi yang sepatutnya,” katanya dalam kenyataan , hari ini.
Wynson Ong berkata, sebahagian pemilik turut membangkitkan persoalan mengenai kedudukan suis utama elektrik yang didakwa dipasang agak tinggi sehingga dikhuatiri menyukarkan tindakan segera sekiranya berlaku kecemasan.
Katanya, kedudukan beberapa soket elektrik di dapur yang didakwa dipasang di atas atau terlalu hampir dengan dapur induksi turut menjadi perhatian pemilik.
“Mereka berharap pihak pemaju dapat memberikan penjelasan profesional dan mengesahkan sama ada reka bentuk berkenaan memenuhi keperluan penggunaan serta piawaian keselamatan yang terpakai,” katanya.
Dalam pada itu, sebahagian pemilik mendakwa mereka telah mula membayar yuran pengurusan atau caj penyelenggaraan sejak Mei walaupun masih terdapat kerja yang belum disiapkan dan pembaikan yang belum selesai.
Menurut Wynson Ong, sebahagian pemilik juga mendakwa sudah beberapa kali mengemukakan aduan kepada pihak pemaju sejak menerima kunci, namun beberapa masalah masih belum diselesaikan selepas kira-kira tiga hingga empat bulan.
“Sebahagian pemilik bukan baru membuat aduan semalam atau hari ini. Mereka sudah mengadu selepas menerima kunci dan memeriksa unit.
“Sekarang ada masalah yang sudah berlarutan kira-kira tiga hingga empat bulan dan masih belum selesai. Sebab itu mereka akhirnya mendapatkan bantuan PPS,” katanya.
Beliau berkata, PPS memahami bahawa sesebuah pembangunan kediaman mungkin memerlukan kerja pembaikan selepas penyerahan, namun pemilik perlu diberikan maklum balas yang jelas mengenai pihak bertanggungjawab dan tempoh penyelesaian.
“Sekurang-kurangnya beritahu pemilik siapa yang bertanggungjawab, bila kerja akan dilakukan dan bila ia dijangka siap. Jangan biarkan mereka bertanya berkali-kali tetapi masih tidak mendapat satu tempoh penyelesaian yang jelas,” katanya.
Terdahulu, Wynson Ong bersama ahli jawatankuasa PPS turun padang ke apartmen berkenaan hari ini bagi melihat sendiri keadaan unit dan mendengar aduan pemilik.
Beliau berkata, PPS akan berhubung semula dengan pihak pemaju selepas mendapatkan gambaran lebih lengkap mengenai isu yang dibangkitkan.
“Matlamat kami bukan untuk mewujudkan pertelingkahan. Kami mahu masalah diselesaikan.
“Aduan pengguna bukan sesuatu yang perlu ditakuti. Yang penting, ada maklum balas, ada pihak yang bertanggungjawab, ada tindakan susulan dan akhirnya masalah itu diselesaikan,” katanya.
Dalam masa sama, Wynson Ong menasihatkan pembeli rumah supaya memeriksa unit dengan teliti ketika menerima kunci serta menyimpan semua dokumen berkaitan, termasuk perjanjian jual beli, bahan promosi, rekod pembayaran dan komunikasi dengan pihak pemaju.
Katanya, pembeli yang menemui kerja belum disiapkan atau kecacatan juga disaran membuat aduan secara bertulis dan menyimpan rekod semua tindakan susulan.
Jika tiada tindakan atau penyelesaian yang jelas selepas tempoh munasabah, beliau berkata PPS akan membantu pemilik mengemukakan perkara itu kepada agensi kerajaan dan pihak berkuasa berkaitan untuk tindakan lanjut.





