SOSMA bukan boleh dikenakan sewenang-wenangnya

Facebook
WhatsApp
PENGARAH Pengurusan PDRM, Datuk Mohamad Zainal Abdullah, yang juga Pesuruhjaya Polis Sarawak

KUCHING: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak boleh menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) terhadap semua jenis kesalahan jenayah kerana pelaksanaannya tertakluk kepada kesalahan yang ditetapkan di bawah undang-undang berkenaan.

Pengarah Pengurusan PDRM, Datuk Mohamad Zainal Abdullah, yang juga Pesuruhjaya Polis Sarawak, berkata kekeliruan mengenai perkara itu timbul apabila terdapat anggapan bahawa semua suspek jenayah boleh dikenakan tindakan mengikut SOSMA.

Katanya, PDRM hanya boleh mengambil tindakan di bawah SOSMA sekiranya sesuatu kesalahan memenuhi peruntukan yang ditetapkan.

“Ramai orang tak faham, orang ingat semua jenayah ini boleh kena SOSMA. Tidak. Dia sudah ada jadual dia, kesalahan-kesalahan dia.

“Bukan sebab kita tak nak SOSMA, sebab undang-undang itu tidak membenarkan kita. Tetapi kita ambil tindakan-tindakan lain,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, sekiranya terdapat keperluan untuk memasukkan kesalahan tertentu di bawah SOSMA, pindaan undang-undang perlu dibuat terlebih dahulu melalui proses perundangan termasuk mendapatkan kelulusan Parlimen.

“Kalau kita rasa perlu satu-satu kesalahan lain itu untuk dikenakan tindakan SOSMA, kita kena pinda dahulu undang-undang, kena melalui proses.

“Kena pergi ke Parlimen, kena luluskan dan sebagainya,” katanya.

Mengulas tindakan terhadap sindiket pengedaran dadah, Datuk Mohamad Zainal berkata PDRM akan meneruskan tindakan lebih tegas termasuk menggunakan SOSMA terhadap suspek yang memenuhi syarat ditetapkan undang-undang.

“Kalau mereka layak untuk dikenakan SOSMA, kita kenakanlah. Itu saja. Kita ikut undang-undang yang ada,” katanya.

Beliau berkata, antara perbezaan utama dalam penahanan di bawah SOSMA ialah peluang jaminan yang berbeza berbanding tahanan reman dalam kes jenayah biasa, tertakluk kepada peruntukan akta berkenaan.

“Kalau menggunakan undang-undang ini, itulah kelebihannya. Tindakan-tindakan lain pun berat juga, cuma dia diberi peluang untuk jamin berbanding dengan SOSMA ini tak boleh jamin, melainkan ada alasan-alasan tertentu sepertimana di bawah Seksyen 13 SOSMA,” katanya.

Dalam sidang media sama, Datuk Mohamad Zainal turut memaklumkan dua operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) pada 11 dan 14 September lalu membawa kepada rampasan lebih 191 kilogram pelbagai jenis dadah bernilai RM17.2 juta.

Kedua-dua kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Oleh Shahrul Qaizat