MELAKA: Projek Wi-Fi Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di 539 lokasi seluruh negara dijangka dapat disiapkan sepenuhnya menjelang September ini, dengan 294 lokasi atau 55 peratus telah siap setakat ini.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata projek bernilai RM664 juta yang ditanggung sepenuhnya oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melalui Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP) itu, bakal meningkatkan infrastruktur dan menambah baik liputan Internet di kampus.
“Kita telah mulakan satu projek untuk memasang puluhan ribu titik akses atau access point (AP) Wi-Fi berteknologi tinggi iaitu Wi-Fi 6 atau Wi-Fi 7.
“Projek ini memberi tumpuan kepada lokasi strategik di kampus termasuk dewan kuliah, makmal, perpustakaan, pusat pelajar serta kolej kediaman dan asrama,” katanya kepada pemberita selepas melawat pelaksanaan Projek WIFI IPTA Fasa 3 di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di sini hari ini.
Beliau berkata keseluruhan projek merangkumi 539 lokasi melibatkan pelbagai IPTA serta institusi latihan kemahiran di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).
Teo berkata Fasa 1 dan Fasa 2 projek tersebut telah selesai yang melibatkan 191 lokasi, manakala pelaksanaan kini memasuki Fasa 3 termasuk lokasi di bawah MARA dan KESUMA.
“Untuk IPTA Fasa 3, 42 daripada 204 lokasi iaitu 21 peratus telah siap dan baki lokasi masih dalam peringkat kerja penyaluran rangkaian serta pemasangan.
“Bagi MARA, kami telah mengenal pasti 110 lokasi dengan 60 lokasi telah siap iaitu 55 peratus, sementara institusi di bawah KESUMA sebanyak 34 lokasi dan satu telah siap,” katanya.
Mengulas perkembangan pelaksanaan di Melaka, beliau berkata projek Wi-Fi IPTA di negeri itu telah mencapai tahap penyiapan 44 peratus, dengan 1,399 titik capaian baharu diaktifkan untuk manfaat 10 IPTA hingga Ogos lepas.
Teo berkata UTeM merekodkan perkembangan positif apabila 302 titik capaian tambahan menerusi Fasa 3 siap dipasang pada 27 Ogos lepas, lebih awal daripada sasaran asal MCMC iaitu pada 23 September.
“Secara keseluruhan, UTeM kini mempunyai 410 AP yang beroperasi, termasuk 108 AP Fasa 2 yang siap dipasang pada Jun 2025,” katanya.
Sementara itu, wakil pelajar Muhammad Quwayyis Khairuddin 21, berkata penambahan AP Wi-Fi berkelajuan tinggi amat penting, khususnya bagi pelajar yang tinggal di kolej kediaman serta lokasi strategik yang lain di dalam kampus UTeM.
“Kami anggap ini satu hadiah paling bermakna daripada Kementerian Komunikasi kerana setiap pelajar di sini amat memerlukan capaian Internet yang bagus bagi memudahkan kami menyiapkan projek dan tugasan. Penambahan AP ini sangat membantu meningkat kualiti Internet di kampus ini,” katanya. – Bernama





