AirAsia dapat lembaran terma pembiayaan AS$1 bilion daripada pihak Asia Barat

Facebook
WhatsApp
AirAsia. Foto hiasan

KUALA LUMPUR: AirAsia Group Bhd telah menerima dokumen lembaran terma yang lengkap ditandatangani daripada pihak Asia Barat bagi pembiayaan yang bernilai AS$1 bilion (AS$1=RM4.10).

Bagaimanapun, Pengasas Bersama merangkap Penasihat AirAsia Tan Sri Tony Fernandes berkata beliau telah bertindak menangguhkan penerimaan itu dalam usaha mendapatkan tawaran yang jauh lebih baik.

“Kami telah menerima dokumen lembaran terma dari Asia Barat yang (telah lengkap) ditandatangani dan jaminan bagi pembiayaan AS$1 bilion.

“Bagaimanapun, saya menangguhkannya terlebih dahulu kerana masih terus berusaha mendapatkan tawaran terbaik. Tahap minat pula adalah amat kukuh,” katanya pada sesi taklimat media secara maya bagi berkongsi kemas kini trbaharu mengenai usaha berkenaan di sini, hari ini.

Menjelaskan selanjutnya, Fernandes berkata tarikh pembiayaan itu juga telah disahkan manakala semua usaha wajar yang diperlukan juga sudah selesai dilaksanakan.

“Mereka sedang melakukan usaha wajar (di pihak mereka), tetapi sebahagian besar daripadanya sudah pun selesai.

“Kini terpulang kepada kami sama ada mahu menerimanya atau kami masih mampu mendapatkan urus niaga yang jauh lebih baik,” katanya.

Fernandes berkata AirAsia juga menyasarkan Disember 2026 atau Januari 2027 sebagai tempoh bagi memuktamadkan langkah pembiayaan berkenaan dengan turut menerima minat daripada beberapa sumber pembiayaan.

“Minat itu datangnya daripada Eropah, bank Amerika Syarikat dan bank tempatan. (Namun) keutamaan saya ada adalah bank tempatan.

“Selain itu, kami juga menerima minat daripada pelabur bon dan Asia Barat. Sambutan terhadap usaha ini adalah amat kukuh,” katanya.

Menurut Fernandes, cadangan pembiayaan AS$1 bilion itu akan dimanfaatkan terutamanya bagi tujuan pembiayaan semula pinjaman yang mahal atau tinggi serta melunaskan beberapa obligasi pemiutang lain.

Sehubungan itu, beliau menyangkal laporan media asing yang mendakwa AirAsia memerlukan suntikan modal baharu sekurang-kurangnya AS$3 bilion bagi menangani kedudukan kewangannya.

“Kami sememangnya konsisten dengan AS$1 bilion yang sebahagian besarnya bagi tujuan membiayai semula pinjaman mahal dan melunaskan hutang dengan beberapa pemiutang…hanya itu sahaja. Ini terutamanya untuk mengurangkan kos faedah agar ada lebih banyak tunai yang memang penting.

“(Oleh itu) dari mana datangnya (dakwaan) mengenai AS$3 bilion ini? Akaun kami jelas wujud, begitu juga pemiutang kami dan semua (fakta) ini ada.

“Adalah tidak bertanggungjawab apabila memetik angka tidak berasas (dalam laporan media). Tiada seorang penganalisis atau pempengaruh yang menulis angka AS$3 bilion itu, namun itulah yang dilaporkan media,” katanya.

Mengulas mengenai pilihan pembiayaan daripada pihak bank tempatan, Fernandes menegaskan ini bagi membantu kumpulan bertindak mengurangkan lagi pendedahan pertukaran asing dengan menyelaraskan pinjamannya agar seiring dengan mata wang hasil yang diraih.

“Kesemua pinjaman kami dalam dolar Amerika Syarikat (AS) sedangkan perolehan hasil kami dalam mata wang baht dan rupiah. Saya mahu aspek ini dapat dipadankan dengan pinjaman itu semana yang boleh.

“Secara jujurnya, saya masih mengharapkan (penglibatan) pihak bank tempatan. Ini jauh lebih murah dan kurang berisiko,” katanya. – Bernama