SERIAN: Dua lelaki tempatan masing-masing dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan dua sebatan selepas didapati bersalah atas kesalahan dadah berulang di bawah Seksyen 39C(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Ketua Polis Daerah Serian, Superintenden Freddy Bian Stanislaus Bian berkata, kedua-dua lelaki berkenaan didakwa secara berasingan di Mahkamah Sesyen Kuching hari ini.
Beliau berkata, tertuduh pertama, seorang lelaki berusia 28 tahun, didakwa di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, dibaca bersama Seksyen 39C(1) bagi kesalahan berulang, di Mahkamah Sesyen 2.
“Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan dua sebatan. Selepas selesai menjalani hukuman penjara, tertuduh juga dikehendaki menjalani Perintah Pengawasan selama dua tahun di bawah Seksyen 38B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Bagi kes kedua, seorang lelaki berusia 24 tahun, turut didakwa di bawah Seksyen 15(1)(a) dibaca bersama Seksyen 39C(1) bagi kesalahan berulang di Mahkamah Sesyen 4.
“Tertuduh turut dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan dua sebatan, serta dikehendaki menjalani Perintah Pengawasan selama dua tahun di bawah Seksyen 38B Akta Dadah Berbahaya 1952 selepas selesai menjalani hukuman penjara,” katanya.
Freddy menegaskan bahawa IPD Serian, khususnya Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, akan terus mengambil tindakan tegas terhadap pengedar dadah serta pengguna yang melakukan kesalahan berulang di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952.





