KUCHING: Jururawat bukan sekadar berperanan sebagai petugas barisan hadapan ketika berlaku bencana, malah mempunyai kedudukan penting dalam perancangan, pendidikan masyarakat dan pembinaan daya tahan komuniti, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.
Beliau berkata, hubungan rapat jururawat dengan pesakit, keluarga dan komuniti memberikan mereka perspektif penting dalam memahami keperluan masyarakat ketika berdepan situasi bencana.
“Jururawat berada di barisan hadapan dan merupakan antara individu pertama yang berhubung dengan pesakit dan keluarga.

“Hubungan mereka dengan pesakit, keluarga dan komuniti memberikan mereka kedudukan yang unik untuk turut menyumbang kepada perancangan dan keputusan berkaitan pengurusan bencana,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Penyelidikan Antarabangsa Ke-9 Persatuan Sedunia Kejururawatan Bencana (WSDN) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini.
Dr Sim berkata, peranan jururawat dalam pengurusan bencana merangkumi keseluruhan proses, bermula daripada kesiapsiagaan dan pendidikan komuniti kepada tindak balas kecemasan, pemulihan serta pembinaan daya tahan.
“Bencana bukan hanya mengenai apa yang berlaku ketika kecemasan. Kita perlu bersedia sebelum ia berlaku dan membina daya tahan selepas itu,” ujarnya.
Beliau yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan turut menggesa pengalaman yang diperoleh daripada sesuatu bencana direkod dan dikongsi sebagai rujukan bagi memperkukuh tindakan serta pembuatan keputusan pada masa hadapan.
“Sebab itu pengalaman dan pengajaran daripada sesuatu bencana perlu menjadi rekod institusi supaya kita tidak mengulangi kesilapan yang sama,” jelasnya.
Dalam konteks komuniti, hubungan langsung jururawat dengan masyarakat juga membolehkan mereka memainkan peranan dalam meningkatkan kesedaran serta kesiapsiagaan menghadapi bencana.
Dr Sim berkata, pengetahuan dan pengalaman yang diperoleh jururawat di lapangan perlu dimanfaatkan dalam proses merancang pendekatan pengurusan bencana yang lebih menyeluruh.
Pada masa sama, beliau menegaskan pembinaan daya tahan bencana bukan tanggungjawab jururawat semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan pelbagai kepakaran.
“Daya tahan terhadap bencana tidak boleh dicapai oleh jururawat sahaja.
“Kita memerlukan semua pihak, termasuk profesional kesihatan, perkhidmatan kecemasan, bomba dan penyelamat, agensi kerajaan, ahli geologi, penyelidik, pakar teknologi, organisasi kemanusiaan, sukarelawan dan komuniti,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau berharap persidangan WSDN dapat memperkukuh bidang kejururawatan bencana melalui perkongsian penyelidikan, pengalaman dan kepakaran antara peserta dari pelbagai negara.
Katanya, hasil penyelidikan dan pengalaman yang dikongsi perlu diterjemahkan kepada amalan yang dapat membantu masyarakat menjadi lebih bersedia dan berdaya tahan ketika berdepan bencana.
Oleh Adele Rissa





