SPAOH: Penerbangan percubaan di Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Bebuling di sini hari ini berlangsung lancar, menandakan perkembangan penting dalam usaha memperkukuh kesalinghubungan udara di Bahagian Betong.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata penerbangan percubaan itu menjadi asas kepada perbincangan lanjut berkaitan operasi STOLport berkenaan, termasuk penetapan tarikh penerbangan komersial.
Bagaimanapun, katanya, tarikh tersebut masih belum ditetapkan dan hanya akan diputuskan selepas perbincangan lanjut bersama pihak berkaitan.

“Secara praktiknya, penerbangan percubaan ini sudah selesai dan berjalan dengan lancar. Kita amat gembira kerana hari ini kita dapat melihat lapangan terbang ini digunakan,” katanya.
STOLport Bebuling dibangunkan dengan kos RM248.026 juta dan mempunyai landasan sepanjang 1.119 kilometer, selain berkeupayaan menerima pesawat seperti King Air.
Menurut Uggah, kemudahan itu bukan sahaja berpotensi menjadi hab pengangkutan penumpang, malah mampu berperanan sebagai pusat pengendalian kargo bagi menyokong sektor pertanian dan industri di kawasan sekitar.
Katanya, kewujudan pusat pembungkusan di hadapan terminal serta Agro Park seluas kira-kira 1,000 hektar di belakangnya membuka peluang besar untuk hasil pertanian tempatan dihantar ke pasaran luar.
“Ini memberi potensi besar kepada kita untuk membawa hasil pertanian ke pasaran luar,” katanya.
Beliau berkata kedudukan STOLport Bebuling akan menjadi semakin strategik dengan siapnya Jambatan Batang Lupar II yang dijangka memendekkan tempoh perjalanan dari kawasan sekitar Batang Lupar ke Betong.
Dalam sektor pelancongan pula, katanya, STOLport berkenaan berpotensi menjadi pintu masuk baharu kepada pelancong yang ingin menerokai produk pelancongan di Betong dan kawasan sekitarnya.

Antara tarikan yang boleh diketengahkan termasuk replika Kubu Rentap di Bukit Sadok, rumah panjang berusia lebih 100 tahun serta produk pelancongan di Kabong dan Batang Ai.
Uggah berkata perjalanan udara dari Kuching ke Bebuling hanya mengambil kira-kira 15 minit berbanding sekitar tiga jam melalui jalan darat, sekali gus menyediakan alternatif perjalanan yang lebih singkat.
Dalam pada itu, aspek keselamatan kekal menjadi keutamaan sebelum STOLport berkenaan memulakan operasi komersial sepenuhnya.
Menurutnya, set peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) telah ditetapkan bagi memastikan keselamatan penerbangan, manakala kemudahan bomba turut disediakan di lapangan terbang berkenaan.
Perbincangan lanjut mengenai aspek keselamatan, operasi dan penyelenggaraan akan dilaksanakan sebelum proses pelesenan serta operasi komersial dimuktamadkan.
Uggah berharap kewujudan STOLport Bebuling dapat merangsang pertumbuhan ekonomi setempat, khususnya dalam sektor pertanian, kargo, industri dan pelancongan.
“Apabila Premier Sarawak mengumumkan pembinaan lapangan terbang ini dahulu, kita tertanya-tanya apa kegunaannya.
“Tetapi hari ini ia menjadi jelas bahawa kemudahan ini boleh menggerakkan aktiviti ekonomi, pengeluaran dan memberi manfaat kepada komuniti,” katanya.
Oleh Adi Safarman





