SPAOH: Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Bebuling mencipta detik bersejarah apabila menerima pendaratan pertama sebuah pesawat, sekali gus menandakan satu lagi pencapaian penting dalam pembangunan kemudahan pengangkutan udara di kawasan Betong, hari ini.
Menurut kenyataan media Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, pencapaian berkenaan menjadi langkah signifikan ke arah memperkukuh jaringan perhubungan udara di kawasan Betong, Spaoh dan Bukit Sadok.
Dibangunkan sebagai sebuah STOLport, kemudahan berkenaan dijangka memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesalinghubungan udara, selain menyokong pembangunan kawasan agropolitan di bahagian berkenaan.
Kemudahan itu turut menyediakan alternatif pengangkutan bagi menyokong pergerakan hasil pertanian dari kawasan Bukit Sadok, sekali gus berpotensi memperluas akses pasaran dan meningkatkan kecekapan pengangkutan produk pertanian.

Antara komponen utama STOLport Bebuling ialah landasan Code 2B sepanjang 1,190 meter dengan lebar 23 meter, selain taxiway sepanjang 185 meter dan apron untuk parkir pesawat.
Projek berkenaan turut dilengkapi helipad, bangunan terminal, menara kawalan serta kemudahan Perkhidmatan Kebakaran dan Penyelamatan Pesawat (AFRS) bagi menyokong operasi dan aspek keselamatan penerbangan.
Selain itu, jalan akses utama sepanjang kira-kira 645 meter serta beberapa kemudahan sokongan turut dibangunkan bagi memastikan kelancaran operasi dan akses pengguna ke STOLport berkenaan.
STOLport Bebuling direka untuk menampung operasi beberapa jenis pesawat yang bersesuaian termasuk DHC-6 Twin Otter, Cessna 208 Caravan, Cessna 408 SkyCourier dan Beechcraft King Air 350i.
Pendaratan pertama pesawat itu menjadi simbol kemajuan baharu bagi sektor pengangkutan udara di kawasan Betong, selain membuka ruang kepada peningkatan aksesibiliti serta pembangunan ekonomi dan sosial di kawasan sekitarnya.
Oleh Adi Safarman



