KOTA SAMARAHAN: Tiga lelaki tempatan ditahan atas kesalahan berkaitan dadah dalam Ops Bersepadu Cegah Jenayah yang dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan, semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Superintendan Mohd Irwan Hafiz Md Radzi berkata, operasi yang dijalankan dari 8.00 malam hingga tengah malam itu melibatkan 14 pegawai dan anggota polis.
Beliau berkata, sepanjang operasi, sebanyak 56 kenderaan dan 72 individu diperiksa, manakala dua saman PDRM (K)257 dikeluarkan atas kesalahan memandu tanpa lesen yang sah.
“Operasi turut membawa kepada penahanan tiga lelaki tempatan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Operasi tersebut melibatkan sekatan jalan raya (SJR) serta rondaan pencegahan jenayah di beberapa kawasan tumpuan dan lokasi kawasan panas sekitar Kota Samarahan.
Mohd Irwan Hafiz berkata, keadaan sepanjang operasi adalah terkawal dan tiada sebarang kejadian tidak diingini dilaporkan.
Beliau berkata, polis akan terus mempergiatkan usaha pencegahan jenayah bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.
Oleh Connie Chieng





