Lelaki maut tertembak ketika memburu di Ulu Merarap

Facebook
WhatsApp
SIASAT LANJUT...Suspek menyerah diri sebelum ditahan bagi membantu siasatan.

LAWAS: Seorang lelaki tempatan maut selepas dipercayai terkena tembakan ketika memburu di kawasan Ulu Merarap, awal pagi ini, dalam kejadian yang dilaporkan kepada polis.

Ketua Polis Daerah Lawas DSP Liong Tindan memberitahu laporan polis telah diterima pada 4.59 pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira 1.30 pagi, mangsa yang berusia 52 tahun, dari Lawas dipercayai telah tertembak oleh suspek yang juga seorang rakan yang sama-sama memburu kerana menyangkakannya sebagai buruan.

“Siasatan awal pihak polis mendapati mangsa, suspek dan seorang rakannya pergi ke kawasan Ulu Merarap untuk memburu binatang buruan.

Pengadu, yang turut menyertai aktiviti memburu itu, memaklumkan bahawa suspek menghampirinya dan meminta pertolongan selepas menyedari tembakan yang dilepaskannya terkena mangsa.

SATU laras senapang patah dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

“Pengadu bersama suspek kemudian menghampiri mangsa dan mendapati mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan pagi ini.

Pengadu dan suspek kemudian pergi ke Balai Polis Lawas untuk membuat laporan berhubung kejadian itu.

Suspek, lelaki warga asing berusia 40 tahun yang juga rakan pengadu, menyerah diri di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lawas sebelum ditahan bagi membantu siasatan.

Sepasukan polis dikerahkan ke tempat kejadian dan hasil siasatan mendapati mangsa ditemui dalam keadaan terbaring di atas jalan balak.

Turut ditemui satu laras senapang patah yang berada berhampiran mangsa, manakala satu lagi laras senapang patah yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu ditemui di sebelah mayat mangsa.

Polis merampas kedua-dua laras senapang patah berkenaan untuk membantu siasatan. Ujian saringan air kencing terhadap suspek pula didapati negatif dadah.

Siasatan di tempat kejadian turut dibantu Pasukan Forensik dan Unit K9 dari Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Lawas untuk bedah siasat.

Pihak polis memohon kepada orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat tentang kejadian supaya melaporkan segera kepada pihak polis. Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata 1960.

Oleh Adeng Edrus

Lelaki ditahan miliki syabu, positif dadah

MUKAH: Seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun ditahan selepas dipercayai memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 0.37 gram di kawasan Kuala